Persatuan Bola Sepak Perlis fokus atasi isu kewangan, kata presiden

Zamri Ibrahim berkata, walaupun Fifa menggantung PFA sejak awal 2019, ia tidak bermakna persatuan itu terkubur terus.

KANGAR: Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) meletakkan fokus utama persatuan itu untuk bebas daripada kemelut kewangan, selain pelbagai masalah lain seperti tuntutan gaji daripada pemain yang membelenggunya.

Presiden barunya, Zamri Ibrahim berkata, beliau tidak tahu berapakah hutang terkumpul persatuan itu, walaupun beliau ialah timbalan presiden PFA sebelum ini.

“Saya tidak tahu berapa jumlah terkini hutang PFA. Ada cakap-cakap mulut kata RM800,000, RM1 juta, RM2 juta. Pelbagai…Tak ada dokumen atau hitam putih.

“Sebelum ini, saya tidak diberitahu hutang terkini PFA. Jadi, kita akan buat semakan semula untuk kenal pasti jumlah terkini.

“Kita ingin hidupkan semula PFA kerana rakyat ternanti-nanti,” katanya selepas Kongres Luar Biasa dan Pemilihan Jawatankuasa PFA sesi 2019-2022 di Majlis Sukan Negara Kangar di sini, hari ini.

Zamri, 59, yang merupakan peguam dan anak jati Perlis, menggantikan Zainuddin Osman yang juga setiausaha sulit Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim.

Zamri berkata, pihak yang ingin membuat tuntutan perlu menunjukkan dokumen atau bukti dan mematuhi kontrak serta undang-undang atau tuntutan mereka tidak akan dilayan.

Katanya, walaupun Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) menggantung PFA sejak awal tahun lepas, itu tidak bermakna persatuan itu terkubur terus.

“Saya akui kita digantung Fifa. Namun kita akan berjumpa dengan FAM untuk membuat rayuan kepada Fifa supaya hukuman itu disemak semula. Sekurang-kurangnya beri sedikit ruang untuk PFA bermula semula kerana kita kena mula dari bawah.”