UPSI sokong cadangan wujud semula Kementerian Pengajian Tinggi

Mohammad Shatar Sabran berkata, cadangan mewujudkan Kementerian Pengajian Tinggi sejajar hasrat Malaysia menjadi hab pendidikan dunia. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyokong hasrat Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad mempertimbangkan Kementerian Pendidikan dipecahkan semula kepada KPM dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Naib Canselornya, Prof Mohammad Shatar Sabran berkata, kompleksiti institusi pengajian tinggi (IPT) semakin mencabar memungkinkan satu kementerian khas mengambil kira atau bertanggungjawab memastikan kemajuan dan kecemerlangannya.

Beliau berkata, ia selaras hasrat Malaysia menjadi hab pendidikan dunia pada masa akan datang.

“Kita yakin dengan cadangan yang diutarakan perdana menteri untuk mewujudkan semula Kementerian Pengajian Tinggi, ia suatu hasrat yang murni dan kami di UPSI sentiasa memberi sokongan padu terhadap cadangan dan idea tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, melalui kementerian itu, universiti awam dan swasta boleh memberi tumpuan khas bersama menteri yang bertanggungjawab untuk mencapai hasrat menarik lebih ramai pelajar antarabangsa sekaligus menyuntik dana menerusi pembayaran yuran.

Sementara itu, Shatar mengucapkan tahniah kepada Mahathir yang memangku tugas menteri pendidikan sementara menunggu menteri baru dilantik.

“Tun Dr Mahathir memiliki pengalaman luas sebagai perdana menteri dan pernah menjawat jawatan menteri pendidikan pada suatu ketika dahulu,” katanya.

Semalam, Bernama melaporkan Mahathir sebagai berkata, pihaknya sedang mengkaji untuk “memecahkan” Kementerian Pendidikan dengan Kementerian Pengajian Tinggi seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.

Pada 10 Jan lalu, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan Mahathir akan memangku jawatan menteri pendidikan berkuat kuasa 3 Jan seperti diputuskan Kabinet dalam mesyuarat Rabu lalu.