Badminton bukan matematik, kata Hendrawan

Hendrawan berkata, Olimpik 2020 di Tokyo pada Julai ini ialah pendedahan terbaik buat Zii Jia yang akan dipersiapkan untuk Olimpik 2024. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Tahap prestasi dan kemampuan seorang pemain badminton, dalam konteks ini perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia bukan boleh diukur dengan pengiraan kadar peratusan.

Namun, berbaki 6 bulan menjelang Sukan Olimpik 2020 di Tokyo pada Julai ini, pelbagai usaha akan dilakukan bagi mempersiapkan pemain berusia 22 tahun itu ke tahap yang cukup kompetitif.

Itu ikrar jurulatih Hendrawan yang ditugaskan memimpin Zii Ji sejak Julai tahun lalu dan mengakui pemain kelahiran Kedah itu sudah menampakkan peningkatan memberangsangkan.

“Saya masih ada janji dan impian untuk melihat satu hari nanti ada pemain Malaysia bergelar juara dunia atau juara Olimpik.

“Saya pun baru dengan dia, hampir 5 atau 6 bulan bersama. Mungkin sebulan selepas Sukan SEA atau ketika Sukan SEA, dia mulai lebih ‘clear’ bagaimana perlu bermain dan pengertian latihan yang lebih jelas. Dan mungkin 6 bulan (lagi) dia akan lebih tahu hala tuju sebenar.

“Tapi jangan ditanya berapa peratus, saya juga tidak pasti. Yang pasti, jawapannya ialah saya akan berusaha yang terbaik. Badminton bukanlah matematik,” katanya.

Hendrawan berkata, Zii Jia ialah pemain yang dipersiapkan untuk Olimpik 2024, tetapi berdasarkan perkembangan dan kematangannya, jurulatih dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sendiri percaya temasya 2020 ialah pendedahan terbaik buat pemain itu.

“Kita ada 6 bulan dan kita akan persiapkan dia. Kita akan berusaha kerana kita ada keinginan menjadi yang terbaik.”

Mengenai prestasi pada Masters Malaysia 2020 yang berakhir hari ini, beliau berkata, Zii Jia menunjukkan peningkatan baik sehingga mara ke separuh akhir, tetapi masih ada yang kurang untuk menyaingi pemain nombor satu dunia, Kento Momota dari Jepun.

Hendrawan mengakui Zii Jia mula bijak mengawal tekanan dalam perlawanan sehingga berjaya menyingkirkan pemain ke-4 dunia Anders Antonsen dari Denmark sebelum mengejutkan Shi Yu Qi dari China pada suku akhir.

“Kita akui Zii Jia masih kalah dengan Momota kerana kita tahu Momota sudah satu tahap di atas dan pemain lain masih sedikit ke bawah. Kita akui juga Zii Jia sudah berusaha dan inilah yang terbaik. Keseluruhan memang ada peningkatan.

“Tapi yang paling penting, saya nampak dan ‘happy’ kerana dia boleh keluar dari tekanan dan dapat kembali keyakinan. Kalah set pertama dia bangkit dan menang set seterusnya berbanding dahulu, kalau set pertama kalah, dia akan ‘give up’.”

Pada edisi kali ini, Zii Jia memperbaiki pencapaian tahun lepas apabila mara ke separuh akhir Masters Malaysia, tetapi tewas kepada Momota sekaligus gagal mara ke final.