Beg silang dilabel gaya ‘mat rempit’ kini fesyen pilihan jenama terkenal

Jika suatu ketika dulu pemakaian beg silang sering dikaitkan dengan imej mat rempit, peon atau peniaga bazar, namun kini ia menjadi trending dan ikutan orang ramai.

Malah sekarang ia telah menjadi satu gaya jalanan mewah, sejak jenama mewah menghasilkan rekaan prototaip beg pinggang atau silang menggunakan material kulit berkualiti tinggi.

Seiring peredaran zaman, muncul istilah baharu menggantikan pouch bag misalnya, bum bag, fanny pack dan belt pack yang kesemuanya membawa satu maksud yang sama iaitu beg yang diikat pada pinggang.

Sejarah beg serba guna ini bermula sejak awal kurun ke-19 lagi dan digunakan Orang Asli Amerika untuk mengisi barang ketika memburu.

Rekaan utama beg pinggang ini mementingkan kebebasan pada pemakai apabila tidak perlu lagi dipegang atau dijinjit, sebaliknya sekadar diikat pada pinggang.

Jika dulu pemakaian beg pinggang ini dilihat sebagai tidak bergaya, namun kini harganya melonjak naik apabila pelbagai fesyen mula menghasilkan beg pinggang ini dengan rekaan lebih kontemporari.

Antaranya Celine yang menghadirkan koleksi beg pinggang mewah sempena himpunan pramusim bunga 2015.

Sementara Alexander Wang pula muncul dengan gaya beg pinggang menepati stail jalanan.

Chanel pula tampil dengan idea hebat dengan melakukan transformasi pada fabrik ikonik mereka iaitu tweed kepada beg pinggang yang cukup menawan dan feminin, malah aliran fesyen ini turut dimanfaatkan jenama fesyen terkenal lain seperti Gucci, Louis Vuitton, Fendi dan Prada!

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]