Filipina berjaga-jaga selepas gunung berapi Taal muntahkan debu

MANILA: Filipina berwaspada hari ini susulan letusan gunung berapi di selatan Manila, di mana para pegawai berkata kemungkinan akan berlaku kepulan awan debu yang besar yang memaksa penerbangan di lapangan terbang utama ibu kota dihentikan.

Gunung berapi Taal, tarikan pelancong popular di tengah-tengah tasik, memuntahkan debu, menghasilkan guruh dengan kesan gegaran dan berlaku sambaran kilat di puncaknya.

Beribu-ribu penduduk yang tinggal berhampiran dipindahkan dari rumah mereka, tetapi penduduk tempatan yang lain masih menimbang sama ada mahu meninggalkan kawasan itu ataupun tidak.

“Satu letusan berbahaya mungkin berlaku dalam masa beberapa jam hingga beberapa hari”, agensi seismologi negara memberi amaran.

“Saya bimbang ia mungkin meletus … tetapi saya menyerahkannya pada takdir. Saya hanya perlu berdoa,” Eduardo Carino, yang bekerja di sebuah hotel berhampiran gunung berapi, memberitahu AFP.

Selepas awan debu mencapai 15,000m ke atmosfera, pegawai penerbangan mengarahkan penggantungan penerbangan ke dan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino (Naia).

Pihak berkuasa pada mulanya menghentikan operasi di Naia selama beberapa jam, tetapi kemudian pada Ahad mengumumkan penerbangan akan digantung “sehingga notis selanjutnya”.

Setiausaha pengangkutan Arthur Tugade mengarahkan pegawai penerbangan “melakukan apa saja yang diperlukan demi kepentingan keselamatan awam”, kata kenyataan bersama pihak berkuasa udara dan pengangkutan.