Jangan panik isu selesema, kata timbalan menteri

Tak semua kes selesema perlu ke hospital, kata timbalan menteri kesihatan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Jangan panik dengan laporan-laporan mengenai wabak influenza, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye hari ini.

“Banyak kes selesema sebenarnya tak perlu masuk hospital,” katanya kepada FMT. Hanya mereka dalam kumpulan kritikal – seperti kanak-kanak dan warga emas – menghadapi risiko komplikasi.

“Beberapa orang risau mengenai kes influenza di Wuhan, China tetapi ia terhad kepada China dan tiada kes seperti itu di Malaysia.”

Lee berkata kes Wuhan akibat wabak Coronavirus, tetapi kes-kes di Malaysia influenza bermusim.

Beliau berkata kementerian sedang berbincang dengan Kementerian Pendidikan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat mengenai langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengecah penyebaran selesema, terutama di sekolah dan tadika.

Sesiapa yang ada simtom influenza tetapi bukan dalam kumpulan kritikal harus mengunjungi klinik, dan hanya ke hospital sekiranya simtom berterusan.

“Minum banyak air, rehat secukupnya, dan elakkan kawasan-kawasan awam bagi mengelakkan risiko penyebaran. Kalau anda perlu keluar, pakai topeng” kata Lee.

Ketua sebuah persatuan perubatan berkata terlalu ramai orang cuba mendapatkan rawatan di hospital untuk penyakit-penyakit yang boleh dirawat di klinik.

Pengerusi Malaysian Medics International, Dr Vikkineshwaran Siva Subramaniam berkata tekanan di hospital hanya melewatkan rawatan orang dengan penyakit yang lebih serius.

Vikkineshwaran, yang berkhidmat di Hospital Kuala Lumpur, berkata: “Orang ramai menjaga kesihatan mereka adalah perkara baik tetapi kadang-kadang mereka terlalu risau. Ada orang datang untuk setiap penyakit kecil.”

Ada juga yang salah faham dan pergi hospital untuk vaksinasi selesema kerana mereka menunjukkan simtom-simtom.

“Vaksin diambil sebelum simtom muncul, dan bekalan adalah terhad dan keutamaan diberi kepada mereka dalam kumpulan kritikal seperti kanak-kanak kecil, wanita mengandung, warga emas yang sangat tua, dan mereka yang menghidap penyakit kronik,” katanya.