Kabinet bincang cadangan ambil alih lebuh raya Rabu ini, kata Lim

Menteri Kewangan Lim Guan Eng bercakap kepada pemberita selepas merasmikan persidangan pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia hari ini.

GEORGE TOWN: Cadangan pengambilalihan konsesi lebuh raya kendalian PLUS Malaysia Bhd (PLUS) dan 4 lebuh raya berkaitan Gamuda Bhd di Lembah Klang akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Lim berkata, pengumuman akan dibuat selepas perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet.

Bagaimanapun beliau tidak menyatakan tempoh bila pengumuman keputusan pengambilalihan konsesi itu akan dibuat.

“Tunggulah pengumuman, saya tidak boleh membuat pengumuman secara spontan kerana itu adalah pengumuman penting, biasanya berdasarkan kenyataan bertulis,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Malaysia, di sini, hari ini.

Dis lepas, Menteri Kerja Raya Baru Bian dilaporkan sebagai berkata Kabinet mengarahkan butiran mengenai pengambilalihan konsesi lebuh raya PLUS itu dibentangkan semula.

PLUS merupakan cabang lebuh raya UEM Group (UEM), anak syarikat Khazanah Nasional Bhd (Khazanah).

UEM dan Khazanah secara kolektif memegang 51% saham dalam PLUS, manakala baki 49% dimiliki oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Empat lebuh raya berkaitan Gamuda tersebut ialah Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Sprint (Sprint) dan Terowong Smart (Smart).