Memalukan… Kanak-kanak kutip sampah dibuang dari kereta

Amalan membuang sampah ke dalam tong sampah seharusnya disemai bermula di peringkat kecil.

Ini kerana didikan awal tersebut akan terus dipraktikkan sehingga ke akhir hayat.

Namun aksi spontan seorang budak lelaki mengutip semula sampah dibuang oleh seorang lelaki dari tingkap keretanya mencuri perhatian netizen.

Kanak-kanak bernama Sun Jiarui berusia setahun sedang berjalan di bandar Jining di Wilayah Timur China bersama ahli keluarganya sebelum melihat aksi pemandu kereta itu mencampakkan sebotol air minuman keluar dari kenderaan.

Kemungkinan Jiarui memikirkan pemandu itu tanpa sengaja membuang botol air tersebut dan cuba membantu dengan memulangkan semula botol kepada pemandu berkenaan, kata ibunya, Jing Lulu, 34, kepada Daily Mail.

Bagaimanapun kata Lulu, aksi spontan anaknya itu pasti menyedarkan kita bahawa perlu memelihara alam sekitar dan tidak boleh membuang sampah sesuka hati.

“Saya memang gemar merakam video setiap kali keluar bersama anak tetapi saya tidak sangka berjaya merakam momen yang begitu indah selain memberi pengajaran berguna untuk diri saya dan orang lain.

“Ketika anak saya pulangkan semula botol minuman itu, lelaki itu tiada reaksi dan terus menutup semula tingkapnya,” katanya.

Sementara itu, perkongsian video dimuat naik di platform Tik Tok Douyin tular di laman sosial.

“Budak itu sungguh comel dan pasti pemandu itu malu dengan tindakannya.”

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]