Mujahid nafi Jakim tak berperlembagaan, gesa G25 henti tuduhan

Mujahid Yusuf Rawa.

PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusuf Rawa menafikan dakwaan kumpulan bekas penjawat awam kanan, G25 bahawa penubuhan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan majlis berkaitan hal ehwal Islam sebagai tidak berperlembagaan.

Mujahid berkata, memandangkan agama Islam merupakan agama rasmi, Putrajaya boleh menubuhkan sesebuah jabatan dan majlis di bawahnya bagi menguruskan pentadbiran kewangan dan agama di peringkat persekutuan dan berhubung dengan negeri-negeri.

“Selama Jakim ditubuhkan, ia adalah hasil dari evolusi pentadbiran Islam di peringkat awal lagi. Ia bermula sebagai unit agama di Jabatan Perdana Menteri, kemudian berkembang kepada Bahagian Hal Ehwal Islam kemudian, lahirlah Jakim.

“Ia untuk menyambut keperluan semasa, termasuk dari aspek pengurusan bajet. Kita tahu dari segi perlembagaan, persekutuan boleh menetapkan kewangan pentadbiran Islam, jadi di manakah yang tidak berperlembagaan.

“Saya nasihat G25 rujuk kita dahulu, mereka sudah rujuk dan kita jelaskan, kenapa benda ini timbul lagi. Akan timbul persepsi dalam kalangan orang ramai bahawa mereka tidak hormat agama Islam, jadi tolonglah,” katanya selepas Perhimpunan Agensi-Agensi di bawah JPM, hari ini.

Terdahulu, G25 menerusi kertas “Administration of Matters Pertaining to Islam” mendakwa kerajaan bertindak tidak mengikut Perlembagaan kerana tiada peruntukan dalam perlembagaan untuk penubuhan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan Jakim.

Mujahid berkata, penubuhan Jakim adalah perlu untuk menguruskan elaun imam, guru Kafa dan pegawai penyelaras masjid di seluruh negara. Bahkan turut menegaskan penubuhan Jakim tidak bercanggah dengan undang-undang negeri.

“Siapa yang hendak uruskan itu? Jadi itulah peranan Jakim menguruskan perkara tersebut dan ia tidak bercanggah dengan perlembagaan. Lainlah Jakim campur tangan dengan urusan negeri, maka ia bercanggahlah.

“Dalam lain keadaan, kita ada platform untuk berurusan dengan negeri-negeri, melalui penyelarasan negeri dan apa sahaja pandangan Jakim dari sudut penyelarasan tidak akan membelakangkan kuasa negeri dan sultan-sultan.

Mujahid turut menjawab pertikaian G25 melibatkan peruntukan RM1.3 bilion diserahkan kepada jabatan itu. Menurutnya, 60% dari jumlah bajet diperuntukkan adalah untuk membayar elaun imam-imam dan kakitangan lain di seluruh negara manakala 40% lagi adalah untuk urusan pentadbiran.

“Kami sudah tidak larat untuk jelaskan isu ini. Kami juga sudah jelaskan kepada G25 sebelum ini, saya tidak tahu kenapa isu ini timbul lagi.

“Apa mereka fobia dengan peruntukan besar, sedangkan peruntukan itu kembali kepada mereka yang bertugas di kampung, guru-guru Kafa, sepatutnya mereka berterima kasih kerana kita menguruskan semua hal-hal ini,” katanya.

Kes murtad jarang berlaku

G25 turut mengkritik undang-undang murtad dengan berkata, keputusan seseorang umat Islam keluar dari agamanya ialah urusan antara individu itu dengan Tuhan.

Menurut kumpulan itu, pelbagai undang-undang di bawah kerajaan negeri yang menghukum individu murtad sama ada melalui denda, penjara atau pemulihan tidak konsisten dengan perlembagaan yang menjamin kebebasan beragama.

Mujahid berkata, G25 perlu berpijak di bumi nyata kerana matlamat undang-undang yang ditubuhkan dalam negara adalah untuk menjaga kemaslatahan agama dan menegaskan Islam merupakan agama rasmi di peringkat persekutuan.

Tambah Mujahid, kes melibatkan penganut agama Islam yang dilahirkan Islam dan kemudiannya berhasrat menukar agama merupakan kes yang jarang berlaku di negara ini.

Baginya, kes yang kerap diuruskan jabatannya adalah melibatkan penganut agama yang pada asalnya bukan Islam, kemudian selepas memeluk agama Islam, mereka mahu kembali kepada agama asalnya.

“Kalau dari segi kes itu, kita cari jalan dari sudut perlembagaan, tetapi adapun yang kata individu asal Islam, kemudian hendak keluar Islam, dan dikatakan kita menghalangnya, itu tidak berlaku kerana tidak ramai kes seperti itu. Itu hanyalah perdebatan falsafah.

“Kembali balik kepada undang-undang negara, yang tujuannya untuk menjaga kemaslahatan, kalau ada undang-undang boleh murtad, maka ramailah orang ingin murtad dan itu tidak memenuhi kemaslahatan menjaga agama, mereka kena berpijak di bumi nyata,” katanya.