Wanita India disahkan mati hidup semula

Jika anda berada di tempat kematian dan ingin memberi penghormatan terakhir dengan mengucup dahinya, tiba-tiba mayat tersebut hidup semula pasti akan membuatkan sesiapa sahaja terkejut.

Dalam keadaan tersebut anda juga berkemungkinan akan panik dan lari daripada upacara tersebut.

Itulah yang berlaku di India di mana seorang wanita yang diisytiharkan mati secara klinikal bangun semula beberapa jam sebelum majlis pengebumiannya dijalankan.

Perkara tersebut berlaku di Karnataka, India sekaligus menggemparkan perkampungan Muchchandi yang terletak 500 meter daripada kawasan itu.

Reuters melaporkan wanita yang dikenali sebagai Malati Chougale itu pada mulanya dikejarkan ke sebuah hospital swasta di Belagavi oleh saudara-maranya kerana tidak sedarkan diri selepas mengalami demam panas.

Sebaik tiba di hospital terbabit, doktor dan kakitangan perubatan berusaha menyedarkan semula wanita berusia 55 tahun itu namun gagal sebelum mengisytiharkan kematiannya.

Tidak lama selepas itu, pihak hospital meminta waris membawa pulang “mayat” wanita itu ke rumah untuk proses pengebumian.

“Ketika sanak saudara memberikan penghormatan terakhir, wanita tersebut tiba-tiba terjaga sehingga membuatkan hadirin terkejut,” kata seorang penduduk kampung.

Susulan itu, keluarga wanita terbabit bercadang menyaman hospital tersebut atas dakwaan cuai.

Sementara itu, jurucakap hospital menafikan dakwaan keluarga wanita terbabit.

“Dia sebenarnya dibenarkan meninggalkan hospital atas permintaan keluarga kerana mahu menghantarnya ke hospital lain.

“Kami tidak pernah mengisytiharkan kematiannya. Jadi, dakwaan petugas kami cuai amat mengecewakan,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]