SPRM lapor polis komplot fitnah Latheefa susulan pendedahan audio

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata, komplot jenayah itu bertujuan untuk mencalar reputasi peribadi beliau dan didalangi oleh seorang peguam.

PETALING JAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya mendakwa wujudnya satu komplot jenayah untuk merosakkan reputasinya susulan pendedahan rakaman audio yang dikatakan membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak dan beberapa individu lain.

Katanya, komplot itu dibuat bertujuan untuk mencalar reputasi peribadi beliau dan didalangi oleh seorang peguam.

“Pada 8 Jan saya telah mengadakan satu sidang akhbar selaku ketua pesuruhjaya (SPRM) mendedahkan, demi kepentingan awam, rakaman audio beberapa perbualan telefon tertentu.

“Kini saya dapat tahu bahawa sebagai reaksi kepada pendedahan pada 8 Jan tersebut, satu komplot jenayah telah dimulakan untuk merekayasa (fabricate) dan mengedar material bertujuan mencalar reputasi peribadi saya.

“Kami percaya seorang peguam di antara lain yang terlibat menjadi dalang di sebalik komplot ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Latheefa berkata, pegawainya akan membuat laporan polis berhubung komplot itu esok dan akan turut menyerahkan segala bukti yang ada.

“Saya ingin menghantar satu mesej yang jelas kepada dalang-dalang di sebalik (komplot) ini, bahawa saya tidak tergugat atau terancam dalam melaksanakan tugas saya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM.

“Masyarakat umum meletakkan kepercayaan yang tinggi terhadap SPRM untuk membersihkan negara ini daripada gejala rasuah.

“Saya bercadang untuk meneruskan tugas ini, walau apapun serangan peribadi atau ugutan dibuat ke atas saya, kini atau dalam masa akan datang,” katanya.

Latheefa sebelum ini mendedahkan rakaman audio dikatakan membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak dan 7 individu berkaitan 1MDB dan bekas anak syarikatnya, SRC International.

Latheefa berkata, rakaman itu melibatkan Najib, pegawai kerajaan dan 2 individu dari Emiriah Arab Bersatu, menunjukkan seperti ada konspirasi untuk memanipulasi maklumat.

Susulan pendedahan tersebut, pelbagai reaksi masyarakat dilaporkan, termasuk pihak yang menyifatkan langkah SPRM itu melanggar prinsip kedaulatan undang-undang.

Petang tadi, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador mengesahkan menerima 9 rakaman audio yang didedahkan SPRM dan dikatakan membabitkan Najib dan beberapa individu itu.