7 jemaah Malaysia maut dihempap kren di Makkah terima RM7 juta dari Raja Saudi

Seramai 111 maut dan lebih 230 lagi cedera dalam insiden kren tumbang di Masjidil Haram, Makkah pada 11 Sept 2015. (Gambar fail)

PUTRAJAYA: Arab Saudi hari ini menyerahkan pampasan kepada waris 7 jemaah haji Malaysia yang terkorban dalam insiden kren tumbang di Makkah pada 2015.

Bayaran pampasan bernilai 1 juta riyal (kira-kira RM1.17 juta) kepada setiap waris mangsa itu ialah pampasan peribadi Raja Arab Saudi Raja Salman Abdulaziz Al Saud, kepada mangsa kejadian itu yang mengorbankan lebih 100 jemaah dan mencederakan lebih 230 lagi pada musim haji 1436 Hijrah.

Tiga jemaah haji Malaysia yang cedera dalam insiden itu masing-masing turut menerima 500,000 riyal (kira-kira RM587,574).

Pampasan disampaikan Duta Arab Saudi ke Malaysia, Mahmoud Hussien Saeed Qattan yang mewakili kerajaan Arab Saudi dengan disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa dalam satu majlis di Kompleks Islam Putrajaya.

Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Nik Mohd Hasyudeen Yusoff.

“Pampasan yang diberikan Raja Salman menunjukkan keprihatinan beliau dan kami amat berterima kasih atas kebaikan dan kemurahan hatinya.

“Bagi pihak kerajaan Malaysia, saya mahu menyampaikan ucapan terima kasih yang tidak terhingga terutamanya kepada Raja Salman atas empati dan perhatian yang diberikan kepada jemaah haji Malaysia,” kata Mujahid.

Sambil mengakui insiden itu ialah tragedi menyedihkan Malaysia, beliau percaya kejadian itu turut mengganggu emosi dan diambil perhatian Riyadh serta masyarakat dunia.

Pada 11 Sept 2015, sebuah kren tumbang ke Masjidil Haram di Makkah akibat angin kencang dan hujan lebat yang menyebabkan 111 maut dan lebih 230 lagi cedera. Mangsa terdiri daripada jemaah haji Malaysia, Indonesia, Pakistan, India, Bangladesh, Turki, Algeria, Iran, Iraq, Libya, Afghanistan dan Mesir.

Susulan itu, Raja Salman mengarahkan sejuta riyal diberikan kepada keluarga mangsa korban dan 2 ahli keluarga mereka dibenar menunaikan haji pada 2016.

Mujahid berkata, semua pampasan itu diuruskan Amanah Raya Berhad bagi memastikan kelancarannya.

Katanya, jawatankuasa peringkat tinggi yang ditubuhkan Arab Saudi untuk meneliti senarai mangsa memutuskan hanya 3 jemaah Malaysia cedera menerima pampasan.

“Sebelum ini melalui rundingan, kita memang nak dapatkan untuk semuanya, tapi tidak kesampaian kerana mereka (Arab Saudi) hanya beri kepada 3 yang cedera. Itu keputusan mereka, bukan keputusan kita.”

Terdahulu, Mujahid dalam ucapannya berkata, TH sudah memastikan keluarga mangsa menerima manfaat RM20,000 sebagai tambahan kepada RM20,000 yang diberikan di bawah perlindungan takaful.

“Sebagai tambahan, setiap mereka yang cedera diberikan RM2,000 setiap seorang, selain TH melawat keluarga mangsa selepas insiden itu bagi menyampaikan ucapan takziah dan sokongan berkaitan yang mungkin mereka perlukan.

“Badal Haji juga telah dilakukan bagi setiap jemaah yang meninggal dunia. Saya mahu mengucapkan tahniah atas usaha terbaik ini.”

Sementara itu, Mahmoud Hussien berkata, Riyadh akan meneruskan usahanya untuk membangun dan menambah baik perkhidmatan bagi jemaah haji.

Katanya, projek penambahan dan pembangunan di pelbagai sektor akan diteruskan di Makkah, Madinah dan tempat suci untuk mencapai sasaran kira-kira 30 juta jemaah umrah menjelang 2030.