AS tahu lebih awal masa Iran akan serang pangkalan di Iraq

PANGKALAN UDARA AIN AL-ASAD: Hampir 8 jam sebelum serangan peluru berpandu Iran terhadap tentera Amerika Syarikat di pangkalan-pangkalan mereka di Iraq pada 8 Jan, tentera AS dan Iraq di pangkalan udara Ain al-Asad memindahkan kakitangan dan senjata ke kubu kuat, kata 2 pegawai tentera Iraq di pangkalan itu kepada Reuters.

Menjelang tengah malam, tiada sebuah pun pesawat tempur atau helikopter berada di kawasan terbuka, kata salah seorang sumber, seorang pegawai perisikan. Seorang lagi sumber perisikan Iraq berkata tentera AS nampaknya tahu masa serangan itu, mengatakan mereka “sedar” pangkalan itu akan diserang “selepas tengah malam”.

Apabila peluru berpandu jatuh sekitar 1.30 pagi, ia mengenai “kubu-kubu kosong yang sudah dikosongkan beberapa jam sebelum itu”, kata sumber perisikan itu. Tiada orang tercedera atau terbunuh.

Selepas peluru berpandu jatuh, beberapa media AS memetik pegawai kerajaan AS berkata serangan itu hanya tembakan amaran, membolehkan Iran memuaskan seruan-seruan dalam negara yang mahu membalas dendam – selepas serangan udara AS yang membunuh seorang jeneral Iran pada 3 Jan – tanpa risiko serangan susulan daripada AS.

Media lain, memetik sumber AS dan Arab, melaporkan Iran memberi amaran pada Iraq sebelum serangann itu dan Iraq menyampaikan maklumat itu kepada AS.

Pegawai tinggi kerajaan AS bagaimanapun pada Jumaat menolak naratif itu. Setiausaha Negara, Mike Pompeo memberitahu pemberita “tidak diragui” bahawa Iran ada “niat” membunuh kakitangan AS.

Sebelum itu, Pengerusi Ketua Turus Bersama Angkatan Tentera AS, Jen Mark Milley berkata perisikan AS – bukannya amaran atau kebocoran maklumat daripada Tehran – memberi notis awal yang membolehkan tentera AS mengelakkan orang terbunuh atau cedera.

Ketika televisyen rasmi Iran mendakwa serangan itu membunuh puluhan askar AS – dan Ayatollah Ali Khamenei mengisytiharkan serangan itu “tidak cukup” – Menteri Luar Mohammed Javad Zarid tidak lama kemudian menulis di Twitter tindakan balas Iran sudah selesai dan kerajaannya tidak mahu keadaan jadi melarat atau peperangan.