Buat pungutan suara sebelum mansuh hukuman mati, gesa keluarga mangsa bunuh

Wakil keluarga mangsa bunuh, Sew Kok Wee (dari kiri, duduk) dan Alice Tan (ibu Annie Kok), wakil dari Gerakan Pembela Ummah, Mansor Ibrahim (mewakili kanak-kanak dibunuh, Muhd Hafiz Idris dan Nurulhanim Idris), Wong Hie Huong (kakak pengurus HSBC dibunuh, Stephen Wong Jing Kui) dan Allan Ong Yeow Fooi dari NGO Protect Malaysia (mewakili keluarga Kevin Morais dan ahli perniagaan Sosilawati Lawiya) serta Christina Teng (kiri, berdiri) ialah peguam keluarga mangsa dan Robert Phang.

PUTRAJAYA: Sebuah kumpulan mewakili keluarga mangsa bunuh, termasuk keluarga anggota bomba, Muhammad Adib Muhammad Kassim dan peguam Kevin Morais, mendesak kerajaan mengadakan pungutan suara sebelum memansuhkan hukuman mati mandatori.

Robert Phang dari Yayasan Kebajikan Sosial berkata, kerajaan tidak patut menjadikan Malaysia “syurga penjenayah”.

Katanya, pemansuhan hukuman mati mandatori untuk pembunuhan kejam dan terancang akan menggalakkan penyangak di negara lain datang ke Malaysia melakukan jenayah secara bebas.

Beliau bercakap pada sidang media hari ini dengan ahli keluarga dan wakil beberapa mangsa bunuh selepas mesyuarat dengan Jawatankuasa Khas Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori yang dipengerusikan bekas ketua hakim negara, Richard Malanjum.

Peguam Christina Teng yang mengetuai kumpulan itu berkata, hukuman mati mandatori perlu dikekalkan untuk jenayah kejam seperti pembunuhan dan pembunuhan terancang.

Katanya, kerajaan sedia ada nampaknya melindungi kepentingan penjenayah berbanding mangsa yang didakwanya akan menyebabkan “nyawa rakyat dan mangsa murah”.

Beliau berkata, keluarga mangsa tidak mendapat ketenangan jika pembunuh terlepas daripada hukuman mati.

“Kami lihat pembunuh lebih kerap dibebaskan berbanding dihukum gantung. Sistem keadilan perlu mendapatkan keadilan bagi mangsa, tetapi nampaknya ia melindungi penjenayah.”

Katanya, terdapat kelemahan dalam sistem kehakiman.

“Mereka tidak boleh memansuhkan undang-undang tanpa membuat penambahbaikan kepada sistem kehakiman.

“Apa berlaku jika seseorang yang bersalah dibebaskan?” soalnya.

Teng berkata, jika hukuman mati mandatori dimansuhkan, hakim mungkin tidak menjatuhkan hukuman mati kepada penjenayah kerana mereka akan memilih hukuman lebih ringan.

“Ia hanya menjadikan hukuman mati atas kertas, bukannya diamalkan.

“Kita nampak pembunuh didakwa dengan pembunuhan di bawah Seksyen 302, tetapi hakim menghukum mereka di bawah Seksyen 304 yang lebih ringan (bagi homisid salah dan pembunuhan tidak sengaja).”

Beliau memberi amaran pembunuh dan perogol mungkin kembali melakukan jenayah selepas dibebaskan kerana kelemahan dalam penguatkuasaan dan sistem penjara.

Katanya, mesyuarat dengan jawatankuasa itu hari ini sekadar “lip service” kerana kerajaan sudah membuat keputusannya.

“Kami merayu mereka menjalankan kajian lebih mendalam. Hukuman mati ialah penghalang jenayah.”

Keluarga mangsa berkata, mereka tidak boleh menerima pemansuhan hukuman mati mandatori atau sebarang pampasan daripada kerajaan atas kematian ahli keluarga mereka.

Antaranya Alice Tan yang merupakan ibu kepada Annie Kok, salah seorang mangsa pembunuh bersiri terkenal Rambo Bentong.

Tan berkata, beliau tidak akan mendapat ketenangan selagi pembunuh anaknya tidak dihukum gantung.

“Saya hanya akan berasa tenang selepas pembunuh itu dihukum gantung. Jika dia tidak digantung, saya sendiri akan bunuh dia.”

Rambo Bentong atau Rabidin Satir, 42, didakwa pada 2013 atas pertuduhan membunuh dan merogol Kok yang berusia 17 tahun ketika itu pada Mac 2009.

Dia sedang menjalani hukuman penjara 133 tahun.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong dilaporkan berkata, Putrajaya sedang menunggu laporan cadangan alternatif bagi hukuman mati daripada jawatankuasa khas yang dijangka diterima bulan ini.

Katanya, kajian itu termasuk hukuman mati mandatori bagi 11 jenayah serius di bawah Kanun Keseksaan, termasuk pembunuhan dan Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat 1971).