Institusi Melayu berkesan bila ada kerjasama antara kaum, kata sultan

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.

PETALING JAYA: Institut Teknologi Mara berkesan dalam peranannya sebagai institusi Melayu untuk melahirkan kumpulan profesional dan menengah kerana kerjasama antara kaum, kata Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.

Mengulas legasi pengarah pertama ITM di pelancaran buku “Arshad Ayub – Menamam Pokok Tempat Berteduh”, Sultan Nazrin berkata komitmen pengajar bukan Melayu mendidik anak-anak Melayu di kolej itu hingga lahirnya kumpulan profesional dan menengah yang ramai hasil kerjasama yang berjaya dijalinkan.

“Memberikan sinar harapan bahawa kerjasama antara kaum lebih mudah dipupuk, jika retorik politik yang berpaksikan kaum–berpaksikan agama dapat diminimumkan, dan politik yang mensensasikan kaum–mensensasikan agama dapat dihentikan,” katanya dalam ucapan di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya hari ini.

Sambil merujuk kepada buku itu, Sultan Nazrin menarik perhatian kepada komposisi kaum pensyarah ITM ketika bawah pimpinan Arshad, mengatakan 95% daripada mereka bukan berketurunan Melayu.

“Komitmen mereka kepada pelajar-pelajar adalah mutlak,” katanya memetik buku itu.

Sultan Nazrin berkata ini boleh terjadi kerana Arshad tidak prejudis, tidak berprasangka negatif terhadap orang bukan Melayu.

“Dalam tugas penyampaian ilmu, kaum boleh mengatasi sempadan,” katanya.

Ketika tuntutan terhadap penggunaan bahasa kebangsaan di universiti awam sedang memuncak, Arshad menentang arus dan menetapkan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di ITM.

“Apabila dipersoalkan oleh sesetengah pihak jawapan Arshad ialah: ‘Saya di sini untuk selamatkan bangsa Melayu, bukan bahasa Melayu’,” kata Sultan Nazrin.

Kedegilan Arshad dalam menterjemahkan wawasannya kepada realiti, menghasilkan suatu komuniti Melayu, majoritinya dari desa, yang menguasai kemahiran profesional dan menyertai pelbagai bidang di sektor swasta bersama komuniti bukan Bumiputera.

“Beliau tidak mengenali takut, tidak serik dan jauh daripada gentar untuk menyuarakan wawasannya apabila pada 2015, berani melontarkan pandangan agar UiTM membuka pengambilan kepada bukan bumiputera untuk mengikut pengajian peringkat pascasiswazah.”

Arshad dilantik pengarah pertama ITM pada tahun 1967 dan menyandang jawatan itu sehingga 1975. Beliau kini menyandang jawatan Pro Canselor, pelantikan yang dibuat sejak 31 Mac 2000.

ITM dinaiktaraf menjadi Universiti Teknologi Mara (UITM) pada 1999.