Iran tahan suspek tembak jatuh pesawat Ukraine

Pesawat penumpang Ukraine jenis Boeing 737-800 ini terhempas sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Imam Khomeini Tehran pada 8 Jan lalu. (Gambar AP)

TEHRAN: Pihak berkuasa Iran menahan beberapa suspek yang dipercayai terbabit dalam nahas pesawat penumpang Ukraine terhempas minggu lalu, kata jurucakap Suruhanjaya Kehakiman negara itu pada Selasa.

Suspek ditahan “kerana mempunyai kaitan dengan nahas pesawat”, kata Ghulam Hussein Ismaili dipetik Press TV.

Suspek ditahan selepas Presiden Iran, Hassan Rouhani mengarahkan penubuhan “mahkamah khas yang diketuai seorang hakim kanan” untuk mendakwa mereka yang bertanggungjawab atas tragedi itu.

Iran sebelum ini mengakui nahas itu ialah “kesilapan manusia” kerana tenteranya “tidak sengaja” menembak jatuh pesawat penumpang berkenaan.

Nahas itu berlaku beberapa jam selepas Iran melancarkan peluru berpandu ke kawasan perumahan tentera Amerika Syarikat di pangkalan tentera udara Iraq sebagai tindak balas terhadap kematian komander tertinggi tentera elit Iran, Qasem Soleimani yang terbunuh dalam serangan dron AS dekat lapangan terbang Baghdad pada 3 Jan lalu.

Pesawat penumpang Ukraine jenis Boeing 737-800 itu terhempas sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Imam Khomeini Tehran menyebabkan semua 176 penumpang, termasuk 9 anak kapal terkorban.

Mangsa terdiri daripada 82 warga Iran, Kanada (63), Ukraine (11), Sweden (10), Afghanistan (4), Britain (3) dan Jerman (3).