Komplot calar peribadi Latheefa ganggu isu sebenar pendedahan SPRM, kata peguam

Jahaberdeen Mohamed Yunoos. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Pengkritik Latheefa Koya berhubung pendedahan perbualan telefon membabitkan bekas pegawai tertinggi yang terlibat dalam skandal 1MDB berkata serangan peribadi terhadap ketua badan anti-rasuah itu akan mengalihkan perhatian orang ramai daripada kebimbangan sebenar terhadap kedaulatan undang-undang.

“Saya ingin menegaskan isunya sama ada agensi penguatkuasaan dalam keadaan tertentu boleh atau tidak mendedahkan maklumat yang diterima kepada orang ramai,” kata peguam Jahaberdeen Mohamed Yunoos, pengkritik kuat langkah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan rakaman itu, dalam kenyataan.

“Jangan ganggu isu ini dengan serangan peribadi terhadap Latheefa,” katanya, beberapa jam selepas Latheefa mendakwa wujudnya komplot jenayah untuk mencalar reputasi peribadinya, dipercayai didalangi seorang peguam.

Latheefa, yang juga ketua pesuruhjaya SPRM, berkata satu laporan polis akan dibuat hari ini bersama bukti-buktinya.

““Saya ingin menghantar satu mesej yang jelas kepada dalang-dalang di sebalik (komplot) ini, bahawa saya tidak tergugat atau terancam dalam melaksanakan tugas saya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM,” katanya malam tadi.

Jahaberdeen berkata serangan peribadi adalah tidak bermoral dan kesalahan jenayah mengikut Kanun Keseksaan.

“Saya juga berpendapat rakyat harus melindungi reputasi semua ketua institusi kita, kecuali perkara-perkara yang perlu didedahkan demi kepentingan negara,” katanya.

Jahaberdeen menggambarkan pendedahan rakaman itu sebagai “detik hitam” dalam sejarah Malaysia, dan menyeru Latheefa meletak jawatan.

Minggu lalu, SPRM mendedahkan 9 rakaman audio yang dikatakan suara bekas perdana menteri Najib Razak; isterinya, Rosmah Mansor; bekas timbalan pendakwa raya awam Dzulkifli Ahmad dan Putera Mahkota Emiriah Arab Bersatu, Mohammed bin Zayed Al Nahyan, berbincang mengenai urusan berkaitan 1MDB.

Pendedahan itu mengundang pujian dan kritikan orang ramai.