Momota masih dirawat di hospital

Pemain badminton nombor 1 dunia dari Jepun, Kento Momota. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Semua yang telibat dalam perlanggaran awal pagi semalam termasuk pemain badminton nombor 1 dunia dari Jepun Kento Momota, kini beransur pulih di Hospital Putrajaya.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam satu kenyataan berkata, atas nasihat doktor, mereka kini diletakkan di bawah pengawasan di hospital berkenaan dan tidak akan dibenarkan keluar malam tadi.

“Pegawai BAM kini berhubung rapat dengan ketua jurulatih Jepun Park Joo Bong dan akan terus berada di hospital berkenaan untuk memberikan bantuan,” menurut kenyataan tersebut.

Pemain berusia 25 tahun itu, mengalami luka di beberapa bahagian muka termasuk di sinus maksila dan patah tulang hidung dalam pelanggaran melibatkan beliau, kakitangan sokongannya dan seorang pembantu sistem Hawkeye Persekutuan Badminton Dunia.

Sebuah van yang dalam perjalanan membawa mereka ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terlibat dalam perlanggaran dengan sebuah lori kira-kira jam 4.40 pagi di KM13.7 Lebuhraya Maju Expressway (MEX).

Selain Momota, mereka yang terlibat ialah pembantu jurulatih Yu Hirayama, 35, (luka pada tulang kering sebelah kanan); pegawai fisioterapi Morimoto Akifumi, 42, (konkusi otak dan fraktur tertutup) dan William Thomas, 30, seorang operator sistem Hawkeye (luka di kepala dan bahagian bawah kaki).

Pemandu van B Nageswarau, 24, maut di tempat kejadian.