Perbendaharaan AS tidak lagi gelar China manipulator mata wang

WASHINGTON: Perbendaharaan AS semalam berkata China tidak lagi akan digelar sebagai manipulator mata wang dalam laporan mata wang setengah tahunnya, menterbalikkan penemuannya pada Ogos, yang memberi kesan pada pasaran kewangan.

Keputusan yang sudah dijangka itu selepas delegasi peringkat tertinggi China tiba di Washington menjelang pemeteraian perjanjian dagangan Fasa 1 yang bertujuan untuk meredakan ketegangan antara 2 ekonomi terbesar dunia itu selepas 18 bulan saling berbalas tarif yang memberi kesan pada pertumbuhan sejagat.

Gelaran oleh perbendaharaan pada Ogos itu merupakan kali pertama sejak 1994 AS menentukan China memanipulasi mata wangnya, menuduh China mewujudkan kelebihan perdagangan yang tidak adil.

Dalam laporan terbarunya, perbendaharaan berkata China membuat “komitmen-komitmen yang boleh dikuatkuasakan untuk menahan penurunan nilai” dan bersetuju menerbitkan data-data berkaitan tentang kadar tukaran dan imbangan luaran sebagai sebahagian daripada perjanjian dagangan Fasa 1 itu.

Laporan itu berkata Yuan China, selepas susut nilai sehingga RMB7.18 berbanding dolar AS pada awal September, naik nilai pada Oktober dan sedang didagangkan pada RMB6.93 berbanding dolar.

“Dalam konteks itu, Perbendaharaan menentukan China tidak lagi digelar sebagai manipulator mata wang pada masa ini,” kata laporan itu.

Laporan itu menyatakan kebimbangan berterusan mengenai amalan mata wang di 8 negara – Jerman, Ireland, Itali, Jepun, Malaysia, Singapura, Korea Selatan, dan Vietnam – dan memasukkan Switzerland dalam senarainya.