Permohonan Lokman ketepi prosiding hina mahkamah ditolak

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Lokman Nor Adam untuk mengetepikan kebenaran yang diperoleh Peguam Negara Tommy Thomas untuk memulakan prosiding terhadap ahli Majlis Tertinggi Umno itu kerana menghina mahkamah.

Hakim Collin Lawrence Sequerah berkata afidavit peguam negara menjelaskan kenapa Lokman harus kena prosiding hina mahkamah adalah jelas.

“Kenyataan AG dalam afidavit kepada responden adalah jelas,” katanya.

Sequerah juga memutuskan pihak luar selain daripada mahkamah juga boleh mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada seseorang yang didakwa menghina.

Pada 22 Okt, Sequerah membenarkan Thomas memulakan prosiding komital terhadap Lokman kerana didakwa mengancam saksi Amhari Efendi Nazaruddin dalam perbicaraan 1MDB yang sedang berlangsung.

Hakim juga menolak permohonan Lokman memohon penggantungan prosiding sementara menunggu rayuan ke Mahkamah Rayuan.

Peguam Muhammad Shafee Abdullah, mewakili Lokman, berkata beliau akan memfailkan perakuan segera kepada Mahkamah Rayuan untuk mendengar rayuan itu.

Sequerah menetapkan 13 Mac untuk mendengar prosiding tersebut.

Minggu lalu, pendakwa raya ad hoc Gopal Sri Ram mengemukakan komen Lokman mengenai Amhari yang dikatakan sama seperti mengancam saksi atau saksi-saksi berpotensi lain, dan juga perbuatan melemahkan pentadbiran keadilan.

Beliau berkata peguam negara dan pendakwa raya berhak memohon untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Lokman kerana mereka bertindak untuk mempertahankan mahkamah.

Shafee berhujah hanya mahkamah boleh mengeluarkan notis itu untuk kenakan Lokman kerana menghina mahkamah dan bukannya pendakwaan.

“Notis yang diberikan oleh pendakwa raya harus dianggap cacat kerana bukanlah mahkamah yang memulakannya,” katanya.

Shafee menambah pihak pendakwaan gagal menyatakan butiran yang pendakwaan dapati menghina dalam laporan polis Lokman dan video.

Lokman membuat laporan polis mencabar kredibiliti Amhari sebagai saksi susulan pengakuannya di kandang saksi bahawa dia menerima pinjaman AS$200,000 daripada ahli perniagaan dikehendaki, Low Taek Jho.

Pihak pendakwaan berkata Lokman juga membuat temubual video di mana beliau didakwa menyerang integriti peguam negara.