Ramasamy berang arahan Kementerian Pendidikan ‘haramkan’ pesta Ponggal

P Ramasamy berkata, Ponggal bukannya upacara keagamaan.

GEORGE TOWN: Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy hari ini mengecam arahan Kementerian Pendidikan untuk semua sekolah melarang pelajar Islam menyertai pesta Ponggal yang diisytiharkan haram oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Arahan kementerian yang bertarikh 13 Jan itu dihantar kepada semua pengarah pendidikan negeri selepas panel pakar syariah Jakim melarang umat Islam menyertai perayaan itu.

Panel itu berkata, penyertaan dalam memasak beras dan susu – upacara utama ketika sambutan Ponggal – diharamkan sama sekali untuk umat Islam.

Ramasamy yang juga pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pulau Pinang, memberitahu FMT Ponggal bukannya upacara keagamaan, sebaliknya ia adalah pesta menuai Tamil yang diraikan semua agama.

“Walaupun majoriti penganut Hindu meraikan Ponggal, ia bukannya acara Hindu. Memasak satu periuk susu dengan minyak sapi dan gula, serta membiarkan ia melimpah ialah lambang kemakmuran dan tuaian melimpah-ruah.

“Dan arahan ini datang dari kementerian itu kelihatan seperti satu lagi unsur ‘deep state’ kerana Ponggal tidak pernah menjadi isu.

“Hanya selepas isu tanglung di sekolah, sekarang ini pula menjadi isu. Adakah ini satu tindakan sabotaj, memalukan perdana menteri yang kini pemangku menteri pendidikan?” soalnya.

Beliau turut mempersoalkan jika Kementerian Pendidikan kini menjadi sebuah kementerian Islam yang mengikut arahan Jakim secara membuta tuli.

“Jakim tiada bezanya daripada PAS, Umno dan Putra (Parti Bumiputera Perkasa Malaysia). Mereka mencari peluang untuk membangkitkan sentimen perkauman. Pegawai yang menulis arahan ini perlu letak jawatan serta-merta.”

Dalam surat ditulis Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan, Adzman Talib, yang ditunjukkan Ramasamy kepada FMT menyatakan mesyuarat sebuah panel pakar syariah pada 8 dan 9 April 2019 memutuskan Ponggal haram untuk umat Islam dan mereka tidak patut menyertai perayaan itu.

Dalam surat itu, Adzman berkata, pelajar Islam dilarang sama sekali menyertai aktiviti itu, tetapi mereka boleh mengucapkan Selamat Hari Ponggal kepada individu yang menyambutnya.

Enam syarat ditetapkan dalam surat itu:

  • Tidak memakai pakaian khas yang merujuk kepada lambang agama seperti pakaian sami Hindu;
  • Tidak memakai apa jua peralatan yang memiliki simbol khas agama lain seperti rantai atau kalungan bunga dan bedak yang dikaitkan dengan agama Hindu di badan;
  • Tidak terlibat dengan apa jua ritual;
  • Tidak memaki dan mencaci serta menghina tuhan agama mereka;
  • Tidak memasuki tempat ibadat penganut Hindu apabila Ponggal sedang berlangsung dan
  • Mengucap selamat kepada rakan dan jiran tanpa niat membelakangkan Islam.

Salinan surat itu dihantar kepada ketua pengarah pendidikan dan ketua bahagian lain di Kementerian Pendidikan.

FMT sudah menghubungi Kementerian Pendidikan dan sedang menunggu responsnya.

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran berkata, beliau akan membangkitkan isu itu dalam mesyuarat Kabinet esok.

“Ia salah untuk melabelkannya sebagai perayaan agama kerana ia tiada signifikan agama.”

Ponggal secara tradisinya disambut orang India selepas tuaian pertama bagi mengucapkan terima kasih kepada tuhan dan alam sekitar atas hasil yang diperolehi mereka.

Bagi masyarakat pertanian, beras pertama yang dituai akan dimasukkan dalam periuk yang dimasak dengan susu dan semua orang meraikannya apabila beras dan susu itu melimpah.

Ia menandakan permulaan baik dan memberi pemikiran positif kepada masyarakat untuk berdepan cabaran akan datang. Ramai orang Tamil menganggapnya tahun baru.

Biasanya, beras dimasak di bawah matahari, tetapi sekarang ramai keluarga memasaknya di dapur. Perayaan menuai itu ialah aktiviti kebudayaan dan sesetengah orang Tamil Kristian turut meraikannya di Malaysia.

Sementara itu, susulan arahan Kementerian Pendidikan itu, sekeping gambar disusun sebelah-menyebelah antara surat kementerian itu dan gambar bekas perdana menteri, Najib Razak serta Rosmah Mansor memakai kalungan bunga dan menyertai pesta Ponggal dahulu tersebar dengan kapsyen: “Malaysia di bawah BN dan Malaysia di bawah PH”.