Ramkarpal puji peguam negara tarik diri kes serangan seksual Anwar

Ramkarpal Singh memuji tindakan betul Tommy Thomas menarik diri daripada kes itu kerana beliau didakwa mungkin berat sebelah disebabkan sokongan terbukanya kepada Anwar ketika didakwa dengan tuduhan liwat.

GEORGE TOWN: Peguam Ramkarpal Singh hari ini memuji Peguam Negara, Tommy Thomas tidak terbabit dalam membuat keputusan untuk kes dakwaan serangan seksual terhadap Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Ramkarpal yang juga peguam Anwar, berkata Thomas bertindak betul dengan tidak mengeruhkan keadaan kerana timbul pelbagai dakwaan beliau mungkin berat sebelah kerana bersimpati terhadap Anwar yang pernah dipenjarakan.

“Ini mengekalkan ketelusan jabatan itu kerana tidak syak lagi akan timbul dakwaan berat sebelah. Adalah baik Thomas menarik diri daripada perkara itu yang merupakan percanggahan kepentingan.

“Kami turut menyambut baik keputusan jabatan itu tidak mendakwa Anwar dan menghormati keputusan peguam cara negara. Kami yakin siasatan itu dijalankan secara profesional,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, Peguam Cara Negara Engku Nor Faizah Engku Atek dilaporkan berkata, Thomas menarik diri daripada kes itu “sejak awal lagi”.

“Ini konsisten dengan kenyataan bersama saya dan peguam cara negara II ketika itu bertarikh 2 Ogos 2018 berhubung peranan peguam negara dalam perkara yang mungkin membabitkannya sebelum ini.

“Oleh itu, sepasukan timbalan pendakwa raya di bawah pengawasan saya diamanahkan untuk menilai bukti dan membuat sebarang keputusan mengenainya,” kata Engku Nor Faizah.

Hari ini, Jabatan Peguam Negara memutuskan kes berhubung dakwaan serangan seksual ke atas Anwar susulan laporan polis bekas pembantu penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther, ditutup.

Engku Nor Faizah berkata, terdapat percanggahan fakta material yang tidak dapat menyokong sebarang pendakwaan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan atau seksyen lain di bawah kanun sama.

“Kami juga mendapati tidak cukup keterangan untuk membuat pertuduhan mengenai laporan polis yang dibuat berdasarkan keterangan yang ada dalam kertas siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Minggu lalu, peguam Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Yusoff memberi amaran wujud konflik kepentingan jika Thomas terbabit dalam membuat keputusan kes itu.

Haniff merujuk sokongan terbuka Thomas terhadap Anwar ketika didakwa dengan tuduhan liwat.

Yusoff mendakwa Anwar cuba mencabul kehormatannya ketika mereka bertemu di rumah presiden PKR itu pada 2 Okt 2018.

Anwar bagaimanapun menolak semua dakwaan itu.