Surirumah jana pendapatan RM18,000 hanya main PUBG

Surirumah dulu tidak sama dengan surirumah sekarang kerana yang dulu hanya pandai memasak, mengemas, dan menjaga anak.

Namun kini surirumah juga tahu bagaimana ingin menjana pendapatan yang kadang-kala melebihi pekerja di pejabat.

Menggunakan idea yang kreatif, terdapat surirumah yang menggunakan segala bantuan kewangan sebagai modal dan akhirnya perniagaan kecil-kecilan itu berjaya.

Contohnya perniagaan barangan dalam talian ataupun membuat kuih dan dihantar ke beberapa tempat seperti kantin sekolah setiap hari.

Namun ia berbeza dengan seorang surirumah yang memilih permainan dalam talian, iaitu PUBG bagi menjana pendapatan.

Roslinda Embran atau lebih dikenali sebagai Lynda Embran bermain video tersebut dalam laman sosial Facebook yang pada mulanya mempunyai 5 orang “viewer” sahaja.

Bagaimanapun, beliau tidak berputus asa dan terus mencuba sehingga pendapatan pertamanya mencecah RM18,000.

“Mereka kata buat apa main ‘game’ ni, lebih baik masak dekat dapur. Saya jawab senang je ini kerja saya.

“Saya main ‘game’ menjana pendapatan dan keluarga sokong saya.

“Pertama kali gaji saya dapat dalam RM18,000. Tak pernah terfikir akan dapat gaji banyak macam ni,” katanya.

Jelasnya lagi, jika dulu dia hanya mengharapkan duit yang diberikan suaminya sahaja.

Tetapi kini, Lynda mampu memiliki wang sendiri.

“Kalau dulu harapkan duit suami je. Kontrak kita ikut ‘viewers’, kalau kita ‘stream’ setiap hari, Facebook nampak ‘contact’ untuk jadi ‘partner’,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama, Lynda turut menasihati golongan muda yang ingin mengikut jejak langkahnya.

Katanya, untuk berjaya jangan sesekali berputus asa dan terus berusaha sekalipun gagal untuk beberapa kali.

“Mula-mula pasang impian dulu, tak salah mencuba sebenarnya. Anak muda yang nak jadi ‘streamer’ kena usaha dan buktikan.

“Sebelum berjaya sebenarnya ada kegagalan. Susah untuk pertama kali terus dapat kejayaan, mesti gagal dulu,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]