3 kuasa Eropah secara rasmi tuduh Iran cabul perjanjian nuklear

PARIS/LONDON: Britain, Perancis, dan Jerman semalam secara rasmi menuduh Iran mencabuli syarat-syarat perjanjian 2015 yang mengekang program nuklear negara itu, langkah yang boleh membawa kepada pengenaan semula sekatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang ditarik balik menerusi perjanjian itu.

Negara-negara berkenaan menggunakan mekanisme pertikaian dalam perjanjian itu. Menggunakan mekanisme itu sama seperti secara rasmi menuduh Iran mencabuli syarat-syarat perjanjian.

Kuasa-kuasa Eropah berkenaan berkata tindakan itu untuk mengelakkan krisis daripada pertambahan nuklear menambah kepada konfrontasi yang bertambah buruk di Timur Tengah.

Rusia, sebuah lagi negara penandatangan perjanjian itu berkata, tiada asas untuk menggunakan mekanisme itu dan Iran menepis langkah itu sebagai “kesilapan strategik”.

Tiga negara berkenaan masih mahu perjanjian nuklear dengan Tehran itu dijayakan dan tidak menyertai kempen “tekanan maksimum” Amerika Syarikat, yang menarik diri daripada pakatan itu pada 2018 dan mengenakan semula sekatan ekonomi ke atas Iran.

“Penggunaan mekanisme pertikaian itu tidak berasas dari segi undang-undang dan suatu kesilapan strategik dari sudut pandang politik,” kata Menteri Mohammad Javad Zarif menurut laporan agensi berita Fars.

Iran, yang nafi program nuklearnya bertujuan untuk menghasilkan bom, berundur secara beransur-ansur daripada komitmennya dalam perjanjian itu sejak AS menarik diri. Ia berhujah tindakan Washington mewajarkan tindakan itu.

“Kami tidak terima hujah Iran berhak mengurangkan kepatuhan pada JCPoA,” kata 3 negara Eropah itu dalam kenyataan bersama, menggunakan nama rasmi perjanjian itu, Pelan Tindakan Komprehensif Bersama.

“Kami bertiga tidak menyertai kempen mengenakan tekanan maksimum terhadap Iran. Harapan kami adalah Iran kembali patuh sepenuhnya kepada komitmennya dalam JCPoA,” katanya.

Iran sekian lama menuduh Eropah memungkiri janji-janji melindungi ekonominya daripada sekatan AS. Jurucakap kementerian luar, Abbas Mousavi menepis “tindakan pasif” ketiga-tiga negara itu.

Kementerian luar Rusia berkata menggunakan mekanisme itu boleh menjadikannya mustahil untuk menyambung semula pelaksanaan perjanjian itu.