93 maut akibat salji, hujan lebat di Pakistan

93 maut dan 53 lagi cedera akibat tanah runtuh yang dicetuskan oleh salji dan hujan lebat di Pakistan. (Gambar AP)

MOSCOW: Jumlah korban akibat tanah runtuh yang dicetuskan oleh salji dan hujan lebat di Pakistan mencecah 93 orang dengan 53 lagi cedera, lapor agensi berita Sputnik memetik laporan media pada Rabu.

Menurut akhbar Dawn, kawasan paling teruk terjejas ialah di selatan Azad Kashmir, mencatatkan 66 kematian dan di wilayah barat daya Balochistan dengan 20 kematian. Sekurang-kurangnya 7 yang lain dilaporkan maut di timur laut wilayah Punjab.

Menurut pihak berkuasa Pakistan angka kematian sebenar mungkin lebih tinggi memandangkan beberapa kawasan di utara Lembah Neelam di Azad Kashmir masih tidak boleh dilalui.