Ambil tindakan terhadap pekerja India jejaskan negara, MEF beritahu Kadir

Suruhanjaya Tinggi India di Malaysia menganggarkan 150,000 pekerja dan ekspatriat India berada di negara ini. (Gambar Reuters)

PETALING JAYA: Gesaan wartawan veteran A Kadir Jasin supaya Putrajaya bertindak balas ke atas pekerja dan ekspatriat dari India selepas New Delhi didakwa mengehadkan pengimportan minyak sawit dari Malaysia akan memberi impak buruk kepada pembangunan negara, kata Persekutuan Majikan Malaysia (MEF).

Pengarah Eksekutifnya, Shamsuddin Bardan berkata, Kadir tidak seharusnya melatah dengan laporan India terhadap Malaysia berkaitan pengimportan minyak sawit kerana kenyataan sedemikian hanya akan menyebabkan hubungan Malaysia dan India semakin buruk.

“Kita tahu terutamanya pekerja IT dan pakar-pakar IT yang kita ada kebanyakannya datang dari India. Sekiranya kita mengambil tindakan untuk menghantar mereka pulang ke negara asal, kerana tindakan balas kita dalam isu minyak sawit, saya berpandangan kita seperti menembak kaki kita sendiri.

“Sudah tentu tindakan berkenaan akan membantutkan dan menimbulkan banyak masalah khususnya tentang perancangan negara dalam bersiapan menghadapi revolusi industri 4.0 dan pembangunan IT.

“Setakat ini kita memang tidak mempunyai kepakaran dalam bidang sedemikian,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, Kadir menggesa Putrajaya mempertimbangkan pendiriannya ke atas pekerja, ekspatriat dan produk dari India, selepas New Delhi dilapor mengehadkan pengimportan minyak sawit dari Malaysia. Suruhanjaya Tinggi India di Malaysia menganggarkan 150,000 pekerja dan ekspatriat India berada di negara ini.

Shamsuddin berkata, beliau turut bimbang kenyataan Kadir itu akan menyebabkan pelabur dari negara India yang terlibat dalam bidang IT tidak lagi berminat untuk melabur dalam negara, kerana memang diketahui pelabur dari India mempunyai semangat patriotisme tinggi terhadap negara mereka.

“Kita tahu ada pelabur-pelabur India yang berada di Malaysia pada masa ini dan kita tidak perlu mengambil tindakan yang saya kira sebagai drastik dan membuatkan kerajaan India mengambil tindakan lebih drastik.

“Bagi saya tidak perlu berbuat demikian. Biarkan perkara ini sejuk dan berbincang semula,” katanya.

Pada 8 Jan lalu, India dilaporkan mengenakan sekatan ke atas pengimportan minyak sawit bertapis dan olein sawit, yang dilihat sebagai tindakan balas kepada Malaysia selepas mengkritik tindakan ketenteraan India di Kashmir dan undang-undang kewarganegaraan barunya.

Sumber kerajaan dan industri India dipetik Reuters berkata, kerajaan Perdana Menteri Narendra Modi berhasrat menyasarkan Malaysia susulan kritikan Dr Mahathir Mohamad terhadap negara itu baru-baru ini.

September lalu, Mahathir dilaporkan berkata, India menceroboh dan menduduki Kashmir susulan tindakan ketenteraan ke atas wilayah majoriti penduduknya beragama Islam.

Bulan lalu, Mahathir mengkritik undang-undang kewarganegaraan baru yang diluluskan New Delhi, tetapi dibantah rakyatnya kerana mendiskriminasi pendatang Islam.

Semalam, Mahathir yang bimbang dengan laporan mengenai rancangan New Delhi mengehadkan pengimportan minyak sawit Malaysia, sekali lagi mempertahankan dirinya dengan mengkritik dasar India ke atas Kashmir dan undang-undang kerakyatan penuh kontroversi.