Dong Jiao Zong setuju tulisan Jawi bukan untuk Islamkan pelajar, kata menteri

Mujahid Yusof Rawa bersalaman dengan Tan Tai Kim selepas pertemuan bagi membincangkan isu tulisan Jawi di sekolah vernakular di Putrajaya hari ini. Turut hadir Ong Chiow Chuen (kiri) dan A Ravendiran Arjunan (kanan). (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa berkata Dong Jiao Zong hari ini bersetuju pelaksanaan tulisan Jawi dalam subjek Bahasa Melayu di sekolah vernakular bukan untuk mengislamkan pelajar bukan Islam.

Katanya, perkara itu disepakati dalam pertemuan beliau dengan wakil kumpulan pendidikan Cina itu serta 11 pertubuhan berkaitan pendidikan Cina dan Tamil di pejabatnya.

Selain mengakui pembelajaran Jawi tidak bermotifkan Islamisasi kepada pelajar bukan Islam, katanya, kumpulan itu turut menerima Jawi sebahagian warisan budaya negara yang perlu dihormati semua pihak seperti kaligrafi Cina, tulisan Tamil dan etnik lain di negara ini.

“Kami juga bersetuju tidak timbul isu Dong Jiao Zong menentang pengajaran dan pembelajaran Jawi dan Dong Jiao Zong juga bukan pertubuhan rasis.

“Isu yang dibangkitkan adalah kaedah pelaksanaan pembelajaran yang memerlukan perbincangan secara konstruktif oleh semua pihak,” katanya ketika membacakan kenyataan bersama pada sidang media sejurus pertemuan itu.

Antara yang hadir dalam pertemuan 90 minit itu ialah Pengerusi Dong Zong, Tan Tai Kim, Pengerusi Jiao Zong, Ong Chiow Chuen, Penolong Setiausaha Kehormat Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia, Yong Yew Wei dan Pertubuhan Masyarakat Berasal Dari India Sedunia Malaysia, A Ravendiran Arjunan.

Mujahid berkata, mereka semua sepakat agenda rasis yang bakal meruntuhkan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan bangsa perlu ditentang bersama supaya tiada budaya kebencian sesama rakyat Malaysia.

Katanya, semua pihak juga sepakat meredakan ketegangan dalam isu menyentuh sensitiviti mana-mana pihak melalui pendekatan penuh berhikmah dan bijaksana secara bersama.

Beliau berkata, perkara itu amat penting bagi mengelakkan pihak yang menangguk di air keruh tidak berpeluang mengeksploitasi keadaan untuk agenda sempit mereka.

Sementara itu, Tan berkata, perjumpaan itu ialah titik pertemuan amat penting untuk memahami padangan dan pendirian masing-masing berhubung perkara berkenaan serta isu lain yang menjadi kebimbangan masyarakat.

Selain tulisan Jawi, katanya, mereka juga bertukar pandangan mengenai isu agama dan perkauman yang berlaku baru-baru ini untuk menanganinya bersama.

“Dong Zong bersifat terbuka dan menghormati kepelbagaian serta sedia berdialog dan berinteraksi dengan pihak berkenaan untuk menyelesaikan sebarang salah faham demi keharmonian dan perpaduan negara.”