Pengeluaran getah asli naik 9.3% pada Nov

Pembuatan sarung tangan getah kekal mendominasi industri pembuatan getah asli.

PETALING JAYA: Pengeluaran getah asli pada Nov 2019 meningkat 9.3% kepada 53,019 tan metrik berbanding 48,528 tan metrik pada Oktober 2019.

Ketua Perangkawan Malaysia, Mohd Uzir Mahidin berkata China masih mengekalkan kedudukan sebagai pengimport utama eskport getah asli dengan sumbangan 46.7% daripada keseluruhan eksport getah asli negara.

“Perbandingan antara tahun ke tahun pada Nov 2019 menunjukkan pengeluaran getah asli turut menunjukkan peningkatan sebanyak 1.6%.”

Perangkaan bulan getah asli (Nov 2019)

“Sementara itu, eksport getah asli Malaysia berjumlah 47,888 tan metrik, menurun 6.2% berbanding 50,600 tan metrik pada Okt 2019,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, pembuatan sarung tangan getah kekal mendominasi industri pembuatan getah asli dengan penggunaan sebanyak 74.9% daripada jumlah keseluruhan penggunaan domestik iaitu 40,631 tan metrik pada Nov 2019.