Perlu bukti fizikal untuk teruskan kes Anwar, kata KPN

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata bukti fizikal diperlukan untuk meneruskan kes tuduhan serangan seksual terhadap Anwar Ibrahim yang diumum tutup semalam.

Beliau berkata polis sukar menyiasat kejadian yang didakwa dalam laporan Muhammed Yusoff Rawther itu kerana ia berlaku lama dahulu.

“Bercakap benar atau tidak itu persoalan lain, tetapi apa bukti-bukti ‘corroborative’ (menyokong) yang kita ada?” katanya pada sidang media di Pusat Latihan Polis hari ini.

Hamid menjelaskan keputusan Jabatan Peguam Negara berdasarkan dapatan Jabatan Siasatan Jenayah, oleh itu tidak ada apa yang mencurigakan daripada pengumuman semalam.

“Memang selalunya begitu,” katanya, “kalau ada bukti baru kita boleh buka semula kes itu.”

Semalam, Peguam Cara Negara Engku Nor Faizah Engku Atek, yang mengawasi pasukan timbalan pendakwa raya bagi kes berkenaan, berkata pihaknya bersetuju dengan saranan polis supaya kes itu ditutup, setelah mengkaji semua keterangan dalam kertas siasatan polis.

Mereka dapati terdapat percanggahan fakta yang material yang tidak dapat menyokong sebarang pendakwaan mana-mana orang bawah Kanun Keseksaan, dan tidak terdapat cukup keterangan untuk membuat pertuduhan.

“Selaras dengan amalan biasa, penyiasatan akan dibuka semula sekiranya dan apabila terdapat keterangan baru,” katanya dalam kenyataan.

Laporan polis Yusoff terhadap Anwar pada awal Disember membawa kepada siasatan bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan, iaitu menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah kepada seseorang dengan niat hendak mencabul kehormatan.

Anwar menafikan dakwaan-dakwaan itu, dan kemudian Yusoff dipanggil polis ke Bukit Aman untuk menjalani ujian poligraf pada 17 Dis.

Ditanya adakah ujian poligraf tidak membantu siasatan polis, Hamid berkata hasil ujian itu hanya bagi meyakinkan polis sama ada seseorang itu bercakap atau tidak bagi meneruskan kes itu.

“Kita tidak akan kemukakan keputusan ujian poligraf sebagai keterangan di mahkamah. Undang-undang tidak membenarkan,” katanya.