Polis akan tarik lesen pemilik guna senjata api untuk memburu

Abdul Hamid Bador menggesa lebih 6,900 pemegang lesen senjata api supaya berhenti menjadikan aktiviti pemburuan haram sebagai hobi.

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berkata pihaknya dalam proses membatalkan lesen secara berperingkat pemilik yang menggunakan senjata api untuk pemburuan haram susulan usaha pihak berkuasa membanteras kegiatan itu.

Beliau turut menggesa lebih 6,900 pemegang lesen senjata api supaya berhenti menjadikan aktiviti memburu sebagai hobi.

“Saya bersama bahagian pelesenan senjata api akan melakukan semakan dan memantau kawasan tumpuan memburu sebelum kami tarik semula lesen secara berperingkat,” katanya selepas mesyuarat Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di Pusat Latihan Polis hari ini.

Beliau berkata, pemburuan bukan lagi satu keperluan buat masa ini kerana manusia mempunyai makanan mencukupi.

“Nak buru apa? Nak buru rusa, kijang? Tak perlu lagilah.

“Cukuplah, kita banyak makanan. Kalau tak ada, dalam tin pun ada. Ayam, daging lembu, daging kambing ada.”

Hamid juga menyarankan pemilik senjata api mengelak daripada menggunakan senjata api untuk menghalau haiwan yang merosakkan tanaman mereka.

“Mereka yang menggunakan senjata api untuk menjaga tanaman pun saya tak galakkan untuk menembak kera (dan) monyet yang masuk.

“Kalau boleh halaulah, gunakan kaedah-kaedah lain. Cara terakhir sajalah (guna senjata api). Tak elok kita menembak binatang-binatang macam monyet (dan) rusa.”

Hamid berkata, OBK yang dilancarkan pada suku ke-3 tahun lalu memberi impak positif kepada pemuliharaan flora dan fauna dengan jumlah rampasan dianggarkan kira-kira RM2.8 juta dan 102 suspek ditahan atas pelbagai kesalahan.

“Ini jelas menunjukkan pihak polis, Jabatan Perhilitan Malaysia, Sarawak Forestry Corporation dan Jabatan Hidupan Liar Sabah sememangnya memandang serius dalam menangani masalah kepupusan dan juga tumbuh-tumbuhan akibat pemburuan haram.”

Pada 28 Julai tahun lalu, Hamid dilaporkan berkata, polis akan memberi kuasa dan kursus khas kepada pegawai Perhilitan untuk menembak pemburu haram, selepas mendapat persetujuan Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin yang memberi perhatian terhadap isu itu.