Polis siasat 8 dakwaan kesalahan pada PRK Kimanis

Polis berkata, Warisan dan Umno memfailkan aduan kesalahan pilihan raya kepada pihak berkuasa. (Gambar Bernama)

KIMANIS: Polis sedang menyiasat 8 aduan kesalahan pilihan raya sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil Kimanis.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Azmir Abdul Razak berkata kes itu membabitkan dakwaan fitnah, hasutan dan memusnahkan bahan kempen.

“Warisan dan Umno ada membuat laporan. Kami akan siasat semuanya dan bertindak adil dalam siasatan kami.”

Pengundian bagi PRK Kimanis akan diadakan pada 18 Jan ini dengan 29,644 pengundi berdaftar akan memilih ahli Parlimen mereka sama ada calon Warisan, Karim Bujang atau calon Barisan Nasional, Mohamad Alamin.