Ponggal bukan perayaan keagamaan, kata Gobind

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo menjelaskan Ponggal bukan satu perayaan atau acara keagamaan.

Beliau berkata perayaan itu menandakan sambutan musim menuai dan kejayaan atau kemakmuran yang melimpah.

Beliau menarik perhatian bahawa perayaan itu telah lama diraikan di Malaysia.

“Ia harus dilihat sebagai satu acara untuk masyarakat kita mengeratkan talian persahabatan, menghormati budaya, menggalakkan perpaduan serta membina negara kita,” kata Gobind dalam hantaran di Twitter dan Facebooknya hari ini.

Menteri itu turut berkata satu surat pekeliling berkenaan Ponggal akan dibangkitkan pada mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Ponggal merupakan perayaan yang disambut selama 4 hari bermula hari pertama bulan Thai mengikut kalendar Tamil bersempena musim menuai, menandakan kesyukuran terhadap hasil yang diterima.