Saifuddin tak tahu bila PH bincang isu peralihan kuasa

Saifuddin Nasution Ismail (tengah) bercakap pada sidang media di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna hari ini.

PUTRAJAYA: Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau tidak tahu bila Majlis Presiden Pakatan Harapan akan membincangkan tarikh peralihan kuasa antara Anwar Ibrahim dan Dr Mahathir Mohamad.

Tetapi, beliau setuju Majlis Presiden PH yang dihadiri semua pemimpin parti komponen setiap bulan ialah platform terbaik untuk membincangkan isu peralihan kuasa perdana menteri.

“Saya cuma boleh sebut ia sudahpun menjadi perkara yang disepakati dalam PH bahawa penentuan tarikh itu (peralihan kuasa) akan dibincang dan dimuktamadkan bila sampai masanya di dalam mesyuarat Majlis Presiden PH.

“Kalau tanya saya bila, saya pun tak ada maklumat bila ia akan dibincangkan,” kata menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna itu dalam sidang media di kementeriannya hari ini.

Semalam, Mahathir dilaporkan sedia melepaskan jawatannya pada bila-bila masa atas permintaan Majlis Presiden PH, selepas beberapa ahli Parlimen PKR mencadangkan beliau menyerahkan kuasanya kepada Anwar pada Mei nanti.

Pada 10 Dis tahun lalu, Mahathir dilaporkan berkata, tidak akan menyerahkan kuasa sebelum Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) di Kuala Lumpur pada November ini, tetapi boleh berbuat demikian selepas itu.

Semalam, Anwar dilaporkan berkata, beliau mahu peralihan kuasa itu dilakukan secara aman atas “kerelaan perdana menteri sendiri”.

Katanya, peralihan kuasa perdana menteri perlu dibincangkan secara “aman” walaupun berdepan tekanan daripada sesetengah pemimpin PKR yang mahu proses itu dipercepatkan.