Umno Sabah nafi laporan ahli sertai Warisan

Bung Moktar Radin (tengah, depan) bersama pegawai dan penyokong Umno di bilik gerakan Umno Sabah di Kimanis pada Selasa.

KIMANIS: Ketua Umno Sabah, Bung Moktar Radin menolak laporan ratusan ahlinya menyertai Warisan sejak kempen Pilihan Raya Kecil Kimanis bermula 4 Jan lalu.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, Umno baru membersihkan senarai keahliannya dan individu yang menyertai Warisan itu sudah diisytiharkan bukan ahli parti berkenaan.

“Mereka yang mendakwa melompat dari Umno sudah menjadi ahli Warisan atau PPBM Sabah,” katanya pada sidang media di bilik gerakan Barisan Nasional di Kimanis Centro malam ini.

Ada laporan mendakwa Warisan menerima ratusan bekas ahli Umno sejak 10 hari lalu. Pada Selasa saja, Warisan mendakwa 11 cawangan Umno di Kampung Binsulok ditutup dan 600 ahlinya menyertai parti itu.

Bung Moktar menafikan dakwaan itu dengan berkata, tiada cawangan Umno yang ditutup.

“Kami mempunyai 235 cawangan dan semuanya masih dalam keadaan baik. Apa yang Warisan dakwa hanya drama dan lakonan.”

Umno Sabah berdepan tamparan pada Disember 2017 apabila ramai pemimpin tertingginya meninggalkan parti itu dan kemudian menubuhkan PPBM Sabah.

Tugas Bung Moktar sebagai ketua Umno Sabah termasuk membina semula parti itu di negeri berkenaan dan membersihkan senarai keahliannya.

Umno Sabah kini mempunyai lebih 500,000 ahli – paling ramai berbanding negeri lain – walaupun kehilangan kira-kira 30% ahlinya selepas ramai pemimpin meninggalkan parti itu.