AS, China meterai perjanjian dagangan ‘bersejarah’

(Gambar AP)

WASHINGTON: Selepas hampir 2 tahun 2 kuasa ekonomi dunia berkonflik, Amerika Syarikat dan China memeterai perjanjian perdagangan semalam, memberikan kelegaaan kepada perniagaaan di serata dunia.

Perjanjian itu memberi kelebihan kepada Presiden Donald Trump, yang berdepan pendakwaan dan pemilihan semula tahun ini.

Trump menggelar perjanjian itu “bersejarah”.

Tarif ke atas barangan bernilai beratus bilion dolar masih dikenakan – terhadap 2/3 daripada import bernilai AS$500 bilion dari China – menyebabkan pengguna dan perniagaan AS membayar bilnya.

Perjanjian Fasa 1 itu termasuk ikrar China untuk meningkatkan pembelian tanaman AS dan eksport lain selama 2 tahun, melindungi teknologi AS, dan mekanisme penguatkuasaan baru yang membolehkan Washington segera mengenakan penalti, yang tidak boleh dibalas China.

Keredaan dalam perselisihan perdagangan AS-China itu melonjakkan pasaran saham serata dunia dalam beberapa minggu baru-baru ini, kerana ia menyahkan ancaman tarif-tarif baru, dan Wall Street mencatatkan rekod baru selepas pemeteraian.

Trump menandatangani perjanjian itu dengan Naib Perdana Menteri China, Liu He, yang mengetuai rundingan Beijing dengan Wakil Perdagangan AS, Robert Lighthizer, dan Setiausaha Perbendaharaan, Steven Mnuchin.

Presiden AS berterima kasih kepada Presiden China, Xi Jinping dan memaklumkan beliau mahu mengunjungi China dalam masa terdekat.

Trump berkata beliau hanya akan menarik balik tarif-tarif yang ada “selepas kita memeterai perjanjian Fasa 2”.

Bagaimanapun, isu-isu paling sukar hanya akan ditangani dalam rundingan Fasa 2, termasuk subsisidi besar-besaran untuk industri kerajaan.