Harga vaksin influenza lonjak daripada RM50 kepada RM150

Meskipun Kementerian Kesihatan menegaskan penularan wabak influenza di Malaysia masih terkawal, tetapi ibu bapa tetap bimbang anak mereka dijangkiti virus itu.

Keadaan itu menyebabkan vaksin yang pada asalnya berharga RM50 dan RM70 melambung sehingga RM150 kerana ramai ibu bapa mengambil langkah berjaga-jaga dengan memberi vaksin anti-virus itu kepada anak.

Tinjauan di sebahagian klinik swasta sekitar Selangor dan Lembah Klang mendapati vaksin yang menjadi rebutan itu sudah kehabisan stok.

Bekas pegawai perubatan Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu, Dr Shazril Shaharuddin memberitahu FMT, tindakan menaikkan harga vaksin tidak bertanggungjawab dan tidak patut berlaku.

“Bagi saya, sekiranya ada, amat tidak beretika. Mengambil kesempatan atas kesengsaraan yang sedang berlaku kepada negara cukup menyedihkan.

“Sepatutnya bila lebih banyak permintaan, harga perlu dikurangkan,” katanya yang mengacarakan sebuah rancangan televisyen mengenai virus influenza dan masalah kesihatan berkaitan kanak-kanak baru-baru ini.

Dr Shazril Shaharuddin atau lebih dikenali sebagai Dr Say.

Beliau berkata, ada beberapa keadaan di mana kanak-kanak tidak perlu diberikan vaksin anti-virus itu.

“Sekiranya ibu bapa yakin anak mereka tidak akan terdedah kepada virus influenza dengan tidak membawa anak ke tempat yang memudahkan penyebaran virus, contohnya sekolah atau ibu bapa sendiri tidak bekerja di tempat sesak yang mungkin boleh membawa pulang virus tersebut, maka mereka tidak perlu mengambil vaksin ini.

“Tetapi sekiranya jawapan ibu bapa ‘mustahil’ kepada keadaan di atas, maka mengambil vaksin lebih baik kerana komplikasi dan kos rawatan influenza amat besar berbanding harga vaksin.”

Beliau bagaimanapun berkata, tiada jaminan 100% mereka yang disuntik vaksin itu tidak akan dijangkiti virus influenza.

“Contohnya jika seorang kanak-kanak menghidap selsema selepas mengambil vaksin, ia dapat mengurangkan simptom terkena influenza.”

Katanya, langkah pencegahan amat penting kerana ia dapat mengurangkan risiko dijangkiti virus influenza yang boleh membawa maut, iaitu kerap membasuh tangan, minum air lebih banyak serta memakai topeng mulut atau menutup mulut ketika batuk dan bersin.

Beliau turut menceritakan pengalaman anaknya dijangkiti virus influenza ketika berumur 2 bulan.

Katanya, pada mulanya anaknya hanya menghidap demam dan selsema, sebelum kadar pernafasan bertambah laju, badan tidak bermaya dan tahap kesihatan merosot.

Shazril menasihatkan ibu bapa untuk peka terhadap kesihatan anak dan sentiasa memastikan mereka menjaga kebersihan diri bagi mengelak dijangkiti virus influenza.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]