India sekat import minyak sawit mungkin rahmat tersembunyi, kata pakar

Perunding komoditi James Fry berkata, beberapa juta tan MSM yang dijual oleh Malaysia sekarang boleh dijual sebagai minyak bertapis ke pasaran lain.

KUALA LUMPUR: Seorang perunding komoditi berkata, langkah India mengehadkan import minyak sawit dari Malaysia mungkin merupakan satu rahmat tersembunyi, terutamanya bagi industri hiliran.

Bercakap pada Seminar Tinjauan dan Kajian Semula Ekonomi Minyak Sawit 2020 Lembaga Minyak Sawit Malaysia, James Fry yang berpangkalan di UK berkata, India “lebih kurang” hanya mahu mengimport minyak sawit mentah (MSM) dan terdapat gesaan supaya New Delhi mengehadkan import minyak sawit bertapis kepada 50,000 tan sebulan.

“Apa yang Malaysia harus buat ialah bergerak kepada nilai tambah lebih tinggi, iaitu produk minyak sawit lebih diperhaluskan.

“Jika India enggan membeli dari Malaysia, maka Indonesia harus membekalkan kesemuanya, dan dari segi tradisi, Indonesia tidak menjual semua minyak sawit kepada India,” katanya.

Fry menjangka Indonesia perlu mengisi kekosongan itu dan ini umumnya adalah dalam bentuk MSM. Pada saat Indonesia meningkatkan penggunaan biodiselnya, maka negara itu tidak akan mempunyai banyak lebihan untuk eksport.

Beliau berkata, Indonesia tidak boleh terus memenuhi permintaan minyak bertapis seperti dilakukannya pada 2019 dan pada masa sama memenuhi keperluan MSM India. Ini akan mewujudkan jurang besar dalam pasaran minyak bertapis.

Menurut beliau, kebanyakan negara, termasuk China dan Amerika Syarikat mengimport minyak bertapis, bukannya MSM kerana proses penapisan akan menghasilkan produk sampingan selain olein yang tidak diperlukan negara tersebut.

“Kebanyakan negara hanya mahukan minyak masak, jadi Malaysia akan mendapat manfaat tidak langsung. Minyak bertapis dari Malaysia akan berpindah ke negara yang sebelum ini membeli dari Indonesia,” katanya.

Walaupun keadaan ini tidak akan mewujudkan “peralihan borong”, Fry berkata, ia akan menyaksikan beberapa juta tan jualan Malaysia dalam bentuk MSM akan kini dijual sebagai minyak bertapis ke pasaran lain.

Beliau berkata, Malaysia merupakan satu-satunya negara yang boleh mengisi kekosongan minyak sawit bertapis yang ditinggalkan oleh Indonesia.

Katanya, dari segi itu, sekatan India ke atas minyak sawit Malaysia merupakan satu rahmat tersembunyi.

Fry berkata, penggunaan kilang penapisan di negara ini masih rendah dan wujud kemampuan untuk memproses lebih banyak minyak sawit.

India dilaporkan melaksanakan sekatan ke atas import minyak bertapis Malaysia bagi melindungi pemproses tempatan.

Terdahulu hari ini, Reuters, yang memetik sumber tidak dikenali, juga melaporkan bahawa India merancang untuk memperluas sekatan ke atas import dari Malaysia, termasuk petroleum, gas asli cecair dan komponen komputer berikutan kritikan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad terhadap dasar New Delhi, termasuk dalam isu Kashmir dan undang-undang kewarganegaraan barunya.

Menteri Perdagangan India Piyush Goyal bagaimanapun selepas itu berkata, kerajaan negaranya tidak mengenakan apa-apa sekatan ke atas import dari Malaysia.

Beliau berkata, apa-apa sekatan akan terpakai ke atas semua negara secara sekata dan “sekiranya sesetengah sekatan itu memberi kesan ke atas Malaysia, saya tidak fikir ia akan menjadi satu-satunya negara yang menerima kesan.”