KDN masih belum terima laporan kehilangan Amri dan Koh, pasukan minta masa

Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh Keng Joo..

PUTRAJAYA: Memasuki tahun baru Kementerian Dalam Negeri masih belum terima laporan penuh pasukan petugas khas berhubung siasatan kes kehilangan aktivis sosial, Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh Keng Joo.

Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin berkata pasukan itu meminta masa lagi untuk menyiapkan laporan yang sepatutnya disiapkan dan diserah pada Disember.

“Saya dimaklumkan pasukan petugas khas itu meminta masa lagi,” katanya pada sidang media di kementeriannya hari ini, dan menambah beliau berharap ia akan dapat disiapkan dalam tempoh sebulan, untuk “diserahkan kepada kementerian”.

Kelewatan laporan itu mula dilaporkan pada 11 Dis lagi, apabila Muhyiddin berkata pasukan yang ditubuhkan pada 26 Jun tahun lepas itu sepatutnya menyiapkan laporan penuhnya dalam tempoh 6 bulan seperti yang ditetapkan ketika penubuhannya.

Sehingga laporan itu diserahkan, Muhyiddin tidak boleh mengumumkan apa hasil siasatan oleh 6 anggota yang bertanggungjawab meneliti kes kehilangan paksa 2 individu terbabit, dengan fokus kepada dakwaan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bahawa kehilangan Amri dan Raymond masing-masing pada 24 Nov, 2016 dan 13 Feb, 2017 disebabkan penglibatan Cawangan Khas.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ke atas penemuan kubur beramai-ramai dan kem penyeludupan manusia di Wang Kelian sudah siap dan akan dibentangkan ke Kabinet minggu depan.

Laporan RCI sudah diserahkan kepada Agong, katanya.

“Nanti Kabinet kalau setuju akan benarkan dibaca kepada awam,” katanya.

RCI ke atas penemuan kubur beramai-ramai dan kem penyeludupan manusia di Wang Kelian berakhir 18 Jun lepas, selepas prosiding selama 17 hari membabitkan 48 saksi.

Pada Mei 2015, pihak berkuasa menemui 139 kubur dan 28 kem pemerdagangan manusia yang ditinggalkan di puncak Bukit Wang Burma, Wang Kelian, dekat sempadan Malaysia-Thailand.

Lebih 100 rangka manusia dipercayai milik pelarian Rohingya ditemui dalam kubur itu.