
PETALING JAYA: Kelantan mengaku membeli kereta mewah untuk kegunaan Menteri Besarnya, Ahmad Yakob selepas tular di media sosial mengatakan kerajaan negeri itu menggunakan peruntukan khas sebanyak RM400 juta untuk membeli Mercedes Benz.
Menerusi penjelasan Pejabat Menteri besar Kelantan, pembelian kereta untuk menteri besar, exco dan pegawai tertinggi kerajaan telahpun dijelaskan Timbalan Meneri Besar Mohd Amar Abdullah sejak 12 September 2018 lalu.
Menerusi penjelasan Mohd Amar, kenderaan itu akan dibeli secara berperingkat bermula 2018 di mana permulaannya kepada setiausaha kerajaan negeri, exco dan diikuti menteri besar.
“Kerajaan negeri mengambil keputusan untuk menggantikan kenderaan rasmi bagi kegunaan menteri besar dan exco negeri secara berperingkat setelah membuat penelitian mengenai kenderaan lama yang digunakan sejak 10 hingga 12 tahun lalu.
“Kenderaan rasmi menteri besar dengan nombor pendaftaran DV 1 adalah kenderaan yang digunakan sejak pentadbiran Menteri Besar Nik Abdul Aziz Nik Mat yang merupakan pemberian Sultan Kelantan,” menurut kenyataan itu.
Sebelum ini tular di media sosial mengenai gambar kenderaan rasmi menteri besar iaitu Mercedes Benz dengan no plat DV 1 yang dianggarkan bernilai hampir RM700,000.
Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan, Husam Musa dilaporkan berkata kerajaan negeri membeli kereta mewah untuk kegunaan pegawai tingginya sedangkan negeri itu berdepan masalah kewangan.
Katanya, negara mengambil pendekatan berjimat namun Kelantan membeli Mercedes Benz sedangkan kereta rasmi pegawai kerajaan adalah Proton Perdana.