Plat DV 1 pemberian sultan, kata kerabat Kelantan

Tular di media sosial mengenai gambar kenderaan rasmi MB Kelantan jenis Mercedes Benz dengan nombor plat DV 1. (Gambar Twitter)

PETALING JAYA: Seorang kerabat Istana Kelantan hari ini memaklumkan plat DV 1, yang menjadi perhatian dalam isu berkenaan kenderaan rasmi baru menteri besar, merupakan pemberian Sultan Kelantan kepada kerajaan negeri dan digunakan sejak pentadbiran Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menurutnya, yang tidak mahu dinamakan, plat itu diberi beberapa tahun lalu, ikhlas daripada Sultan Kelantan sekarang.

“Betul, kenderaan, plate DV 1 kurniaan Sultan Muhammad V semasa zaman tok guru (Nik Aziz) lagi,” katanya kepada FMT.

Pejabat Menteri Besar Kelantan mengesahkan pembelian sebuah kenderaan rasmi baru untuk kegunaan Menteri Besar Ahmad Yakob, selepas tular di media sosial mengatakan kerajaan negeri menggunakan peruntukan khas RM400 juta untuk membeli sebuah kereta jenis Mercedes Benz.

Menurutnya, pembelian kereta untuk menteri besar, exco dan pegawai tertinggi kerajaan telahpun dijelaskan Timbalan Meneri Besar Mohd Amar Abdullah sejak 12 September 2018 lalu.

Menerusi penjelasan Mohd Amar, kenderaan itu akan dibeli secara berperingkat bermula 2018 di mana permulaannya kepada setiausaha kerajaan negeri, exco dan diikuti menteri besar.

“Kerajaan negeri mengambil keputusan untuk menggantikan kenderaan rasmi bagi kegunaan menteri besar dan exco negeri secara berperingkat setelah membuat penelitian mengenai kenderaan lama yang digunakan sejak 10 hingga 12 tahun lalu.

“Kenderaan rasmi menteri besar dengan nombor pendaftaran DV 1 adalah kenderaan yang digunakan sejak pentadbiran Menteri Besar Nik Abdul Aziz Nik Mat yang merupakan pemberian Sultan Kelantan,” menurut kenyataan itu.

Ia turut menafikan pembelian kenderaan itu menggunakan dana RM400 juta yang diberikan Putrajaya.

Sebelum ini tular di media sosial mengenai gambar kenderaan rasmi menteri besar iaitu Mercedes Benz dengan nombor plat DV 1 yang dianggarkan bernilai hampir RM700,000.

Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan, Husam Musa dilaporkan berkata kerajaan negeri membeli kereta mewah untuk kegunaan pegawai tingginya sedangkan negeri itu berdepan masalah kewangan.

Katanya, negara mengambil pendekatan berjimat namun Kelantan membeli Mercedes Benz sedangkan kereta rasmi pegawai kerajaan adalah Proton Perdana.