Peguam dakwa penjara Singapura guna cara kejam jika hukuman gantung gagal

LFL mendakwa ia mempunyai bukti kaedah penggantungan kejam di Penjara Changi, Singapura. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kumpulan hak asasi manusia, Lawyers for Liberty (LFL) hari ini mendedahkan maklumat mengejutkan yang mendakwa penjara di Singapura menggunakan kaedah kejam ketika menjalankan hukuman gantung.

Ia termasuk seorang daripada 2 pegawai penjara akan menarik tali di sekeliling banduan di arah bertentangan, jika prosedur penggantungan gagal.

Penasihat LFL, N Surendran berkata butiran “prosedur kejam” itu dikongsi seorang bekas pegawai Perkhidmatan Penjara Singapura yang menjalankan hukuman gantung di Penjara Changi.

“Pegawai ini sedia tampil memberi keterangan di forum bersesuaian,” kata Surendran yang pernah mengkritik kerajaan Singapura mempertahankan hukuman mati ke atas rakyat Malaysia disabitkan kesalahan dadah.

Beliau berkata, LFL “terpaksa mendedahkan beberapa butiran mengenai cara penggantungan kejam itu” selepas kerajaan Singapura tidak mengendahkan tawarannya untuk berkongsi bukti kaedah penggantungan kejam di Penjara Changi.

Penjara Changi ialah satu-satunya penjara di negara itu yang boleh memuatkan lebih 20,000 banduan.

“Mereka turut menafikan dakwaan kami berhubung kekejaman dalam melaksanakan hukuman gantung yang dilaporkan secara meluas,” kata Surendran.

FMT gagal mendapatkan respons daripada pihak berkuasa penjara Singapura ketika dakwaan itu mula timbul pada November tahun lalu.

Surendran berkata, jika tali putus ketika penggantungan, seorang pegawai penjara akan menarik tali di sekitar leher banduan ke arahnya.

“Seorang lagi pegawai penjara akan memberi tekanan dengan menarik badan banduan di arah bertentangan.”

Katanya, belakang leher banduan akan ditendang “dengan kuat untuk mematahkannya”.

“Pegawai diarahkan menendang belakang leher banduan kerana kesannya konsisten dengan kematian akibat digantung.

“Pegawai diberitahu tidak menendang lebih 2 kali supaya tiada kesan ketara jika bedah siasat dijalankan.”

Katanya, LFL juga dimaklumkan pegawai penjara diberikan latihan khas untuk menjalankan kaedah penggantungan itu, tetapi mustahil pemimpin kerajaan Singapura termasuk menteri dalam negerinya tidak tahu mengenainya.

“Setiap banduan hukuman mati di Changi, termasuk rakyat Malaysia, mungkin berdepan kematian mengazabkan itu, jika tali terputus ketika penggantungan.”

Surendran mengulangi gesaannya untuk Singapura menghentikan pelaksanaan semua hukuman mati sementara menunggu siasatan rasmi.

Katanya, penemuan inkuiri itu perlu dikongsi dengan Malaysia, termasuk jumlah rakyat Malaysia yang “dihukum gantung dengan cara kejam ini di Changi”.