Perlu ada pelan jelas henti pelaburan sebelum swasta aset, Ideas beritahu Putrajaya

Kerajaan membuat keputusan untuk tidak menjual PLUS Malaysia Bhd.

KUALA LUMPUR: Dalam menyokong keputusan Kabinet untuk tidak menjual PLUS Malaysia Sdn Bhd, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) hari ini menggesa kerajaan menyediakan satu rangka kerja reformasi syarikat berkait kerajaan (GLC) yang jelas, termasuk pemberhentian pelaburan.

Ideas berkata, sebagai pengawal aset negara, kerajaan perlu merangka dan mengumumkan rangka kerja komprehentif dasar pemberhentian pelaburan bagi menjamin kejelasan dasar.

“Rangka kerja itu juga perlu mempertimbangkan dengan jelas implikasi reformasi GLC, yang mungkin melibatkan penjualan aset, selain dinamika sosio-ekonomi yang lebih luas,” kata ketua pegawai eksekutif Ideas, Ali Salman.

Ali Salman.

Terdahulu hari ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, Kabinet semalam membuat keputusan untuk tidak menjual PLUS.

“Kita sudah mengkaji semua bidaan yang dibuat oleh sektor swasta dan pada akhirnya kita putuskan cara yang terbaik adalah untuk tidak menjual PLUS kepada mana-mana pihak, sebaliknya terus kekal dengan Khazanah dan KWSP,” katanya.

Ali dalam satu kenyataan hari ini berkata, oleh sebab Mahathir membangkitkan isu pemberhentian pelaburan, timbul banyak spekulasi berhubung penjualan aset negara, termasuk PLUS, dan ia bukan sahaja menimbulkan “kebimbangan mengenai ketelusan dan governans”, tetapi juga tidak merangsang keyakinan awam.

“Bagi Ideas, ini disebabkan ketiadaan rangka kerja reformasi GLC yang jelas, termasuk pelan pemberhentian pelaburan. Proses pemberhentian pelaburan yang telus perlu ada sebelum kerajaan terbabit dengan penswastaan,” katanya.

Beliau berkata, rangka kerja itu perlu diutamakan menjelang pembentangan Rancangan Malaysia ke-12 pada pertengahan tahun ini yang akan menggariskan hala tuju jangka panjang ekonomi negara, selain hubungan kerajaan dengan ekonomi swasta.

“Justeru peranan syarikat berkait kerajaan dan badan berkanun perlu disemak semula dan dijadikan relevan bagi menangani cabaran sosio-ekonomi masa depan dengan lebih baik.”

Ali berkata, untuk tujuan itu, Ideas akan menganjurkan satu siri mesyuarat rundingan meja bulat dengan pemegang taruh berkaitan ke arah penyediaan syor berkaitan dasar reformasi GLC.