Polis ambil keterangan Latheefa dedah 9 klip audio skandal 1MDB

Latheefa Koya mendedahkan 9 klip audio perbualan yang dirakamkan pada 5 Jan hingga 29 Julai 2016 berhubung skandal 1MDB dalam sidang media 8 Jan lalu. Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Azam Baki (kiri) dan Pengarah Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta SPRM, Mohamad Zamri Zainul Abidin (kanan).

PUTRAJAYA: Sepasukan polis hari ini ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai bagi mengambil keterangan Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya untuk membantu siasatan berhubung rakaman perbualan berkaitan skandal 1MDB yang didedahkan agensi anti-rasuah itu.

Seramai 10 pegawai dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman tiba di ibu pejabat SPRM kira-kira 2.30 petang tadi dengan 4 kereta Proton Preve berasingan.

Difahamkan, mereka akan merakamkan keterangan Latheefa bagi membantu siasatan, selepas SPRM pada 8 Jan lepas mendedahkan 9 klip audio perbualan selama 45 minit yang dirakamkan pada 5 Jan hingga 29 Julai 2016, antaranya dipercayai melibatkan bekas perdana menteri, Najib Razak.

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata, pihaknya sudah menerima 9 set rakaman yang didakwa konspirasi jenayah peringkat tertinggi dipercayai melibatkan Najib dan beberapa individu lain.