PPBM bincang isu Adun ditahan kes dadah esok

Muhyiddin Yassin (5 dari kanan) bergambar dengan kakitangan Kementerian Dalam Negeri selepas Majlis Amanat Tahun Baru 2020 di kementeriannya di Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA: PPBM akan membincangkan tindakan disiplin yang mungkin diambil terhadap seorang Adunnya kerana ditahan atas dakwaan penyalahgunaan dadah dan aktiviti perjudian baru-baru ini.

Presidennya, Muhyiddin Yassin berkata perkara itu akan dibawa ke mesyuarat Majlis Tertinggi PPBM yang dipengerusikan Dr Mahathir Mohamad esok.

“Memang ada garis panduan dari segi soal etika dan disiplin parti, tetapi walau apapun kena berlaku adil kerana seseorang itu dianggap tidak bersalah sehingga sudah dijatuhkan hukuman.

“Tetapi, dari sudut imej dan disiplin, kita akan putuskan esok,” katanya yang juga menteri dalam negeri selepas menghadiri Majlis Amanat Tahun Baru 2020 kementeriannya di sini, hari ini.

Isnin lalu, Pengerusi PPBM Selangor, Abdul Rashid Ansari mengesahkan seorang Adun parti itu ditahan polis pada awal pagi hari itu, tetapi enggan mengulas lokasi dan punca tangkapan itu.

Beliau berkata, kepimpinan tertinggi parti tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan disiplin ke atas wakil rakyat itu, berdasarkan hasil siasatan lanjut polis.

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador kemudiannya dilaporkan berkata, 17 individu termasuk seorang VVIP ditahan di sebuah pangsapuri di “Jalan Puchong, Kuala Lumpur” untuk siasatan kes penyalahgunaan dadah dan aktiviti perjudian.

Katanya, ujian awal air kencing 16 daripada 17 individu yang ditahan itu positif dadah.

Hari ini, Muhyiddin berkata, beliau menyerahkan kepada polis untuk mengambil tindakan wajar ke atas wakil rakyat itu.

“Terserah kepada polis. Polis sudah buat ujian mereka dan serah kepada Jabatan Kimia,” katanya ketika ditanya bila keputusan ujian air kencing ke-2 ke atas 17 individu itu akan diketahui.