Pulau Pinang perkenal warden trafik dengan kuasa ke atas 44 kesalahan

Warden trafik MBPP mengadakan perbarisan kehormat di hadapan ketua menteri dan datuk bandar MBPP di hadapan Dewan Bandaraya di George Town hari ini.

GEORGE TOWN: Pemandu di Pulau Pinang kini harus lebih berhati-hati dan mematuhi undang-undang jalan raya berikutan kehadiran warden trafik di samping polis trafik untuk memantau pesalah jalan raya.

Warden trafik Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang mula bertugas hari ini diberi kuasa untuk mengeluarkan saman bagi 44 jenis kesalahan dengan denda dari RM70 hingga RM300.

Kuasa dimiliki warden trafik tersebut hampir menyamai polis trafik walaupun mereka hanya boleh mengambil tindakan ke atas bilangan kesalahan yang lebih terhad.

Denda paling tinggi antara lain akan dikenakan ke atas pemandu yang melanggar lampu merah, memotong garisan berkembar, memandu berlawanan dengan aliran lalu lintas di jalan sehala dan gagal mematuhi arahan warden trafik.

Denda RM300 adalah muktamad dan tidak boleh dikurangkan, sementara denda lebih rendah boleh dikurangkan hingga separuh atau dikurangkan jika dibayar dalam tempoh 15 hari.

Warden trafik MBPP mengenakan uniform berwarna biru muda dengan selepang tali pinggang berwarna putih. Mereka juga memakai topi keledar yang dipasangkan dengan kamera video untuk merakam kesalahan sebagai bukti.

Warden juga boleh mengeluarkan saman ketika berpakaian preman, tetapi mereka dikehendaki memperkenalkan diri dengan menunjukkan kad kuasa masing-masing.

Kuasa penguatkuasaan mereka diperuntukkan di bawah Seksyen 3(48) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memberi kuasa kepada datuk bandar sebuah majlis bandar raya melantik warden trafik selepas berbincang dengan ketua polis negara.

Datuk bandar MBPP Yew Tung Seang berkata, seramai 70 warden trafik telah ditauliahkan sejak 9 Mei 2019, tetapi mereka hanya bertugas secara rasmi bermula hari ini, 16 Jan.

Beliau berkata, MBPP adalah majlis bandar raya pertama mempunyai warden trafik, sementara Kuala Lumpur merupakan dewan bandar raya pertama mempunyainya.

Katanya, selain penguatkuasaan undang-undang lalu lintas, warden terbabit juga berperanan membantu menyuraikan kesesakan lalu lintas di persimpangan sibuk pada masa puncak serta mengurus peningkatan lalu lintas yang tidak dijangka.

“Majlis bandar raya sedar bahawa masalah lalu lintas merupakan isu besar, dengan kepadatan serta bilangan kenderaan lebih banyak memasuki pulau tersebut pada masa cuti.

“Kami berharap warden yang dilantik akan dapat membantu menguatkuasakan undang-undang jalan raya bersama-sama pihak polis dan melancarkan aliran lalu lintas di pulau,” katanya.

Ketua menteri Chow Kon Yeow berkata, kewujudan warden trafik itu merupakan langkah yang baik dengan menambah bahawa kerajaan negeri memohon untuk mewujudkan pasukan itu sejak 8 tahun lepas, tetapi tidak dibenarkan kerana kekurangan dana.

“Saya berharap para warden akan mengambil kira aspek keselamatan dalam menjalankan tugas mereka dan pada masa sama memenuhi harapan dan jangkaan orang ramai.

“Ada masanya anda (warden) akan dikritik dan difitnah, tetapi jangan bimbang, teruskan tugas anda mengikut garis panduan yang diberikan,” katanya ketika berucap kepada warden terbabit.

Terdahulu Chow dan datuk bandar MBPP memeriksa perbarisan kehormat warden yang disaksikan oleh timbalan ketua polis Pulau Pinang Roslee Chik dan pegawai kanan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ketika dihubungi, Roslee berkata, terdapat 118 polis trafik pangkat rendah di pulau dan 138 di Seberang Perai.

MBPP mengeluarkan 299,322 notis kompaun kesalahan jalan raya, kunci tayar kenderaan sebanyak 22,346 dan tarik kenderaan 4,175 tahun lepas.

Pada 2018, ia mengeluarkan 195,670 kompaun kesalahan lalu lintas, 22,346 kunci tayar dan 4,020 kenderaan ditarik.