Putrajaya teruskan program sarapan percuma, tetapi untuk pelajar miskin

Bekas menteri pendidikan, Maszlee Malik memperkenalkan Program Sarapan Percuma di sekolah sebelum ini.

KUALA LUMPUR: Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata Program Sarapan Percuma (PSP) yang diperkenalkan bekas menteri pendidikan akan diteruskan namun diberikan kepada pelajar memerlukan sahaja.

“Kita akan teruskan program kita sekarang ini, fokus kepada mereka yang tidak berkemampuan, berikan sarapan kepada semua bermakna mereka yang mempunyai wang adalah golongan kaya, yang mendapat makanan di rumah, jadi ia tidak adil.

“Kita akan teruskan apa yang kita ada sekarang ini dan tambah kepada mereka yang memerlukan,” katanya selepas melancarkan Kompleks Balai Islam Tenaga Nasional Berhad, hari ini.

Isu sama ada PSP ini diteruskan atau tidak, berbangkit selepas Maszlee bertindak melepaskan jawatannya pada 2 Jan lalu.

Maszlee pada Ogos tahun lalu mengumumkan program berkenaan akan diperkenalkan di sekolah kebangsaan bermula pada Jan tahun ini.

Maszlee ketika itu berkata, pengenalan program ini adalah inisiatif Kementerian Pendidikan bagi memastikan pelajar sekolah mendapatkan makanan bernutrisi, supaya terus kekal sihat dan fokus semasa sesi pembelajaran.

Pelaksanaan fasa pertama 2020 akan bermula 20 Januari 2020 membabitkan 100 sekolah dari seluruh negara dengan 37,000 murid dan 1,600 guru bertugas setiap hari.

KPM dalam kenyataan pada Disember lalu memaklumkan kos pelaksanaan fasa pertama program itu dianggarkan RM22 juta.

Katanya, pelaksanaan PSP fasa pertama akan menggunakan menu makanan berkonsepkan Grab ‘n’ Go yang terdiri daripada menu minuman produk tenusu atau minuman berkhasiat dan makanan ringkas seperti roti, biskut, snek bijirin, kuih, sandwic, buah-buahan atau telur rebus.