Tentera Filipina selamatkan tebusan rakyat Indonesia di Sulu

Tentera Filipina menyelamatkan 2 lagi nelayan Indonesia pada Disember tahun lepas.

MANILA: Tentera Filipina menyelamatkan seorang tebusan yang merupakan nelayan Indonesia yang dijadikan tebusan sejak September 2019 oleh pejuang Abu Sayyaf di wilayah Sulu di selatan negara itu, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan pasukan keselamatan tersebut pada Rabu.

Menurut pihak tentera, Muhammad Farhan diselamatkan di sebuah kampung terpencil di Indanan, Sulu pada Rabu pukul 6.45 petang waktu tempatan.

Mangsa kini ditempatkan di sebuah hospital tentera, menurut kenyataan itu.

Farhan adalah antara 3 nelayan Indonesia yang diculik sekumpulan lelaki bertopeng dan bersenjata daripada kumpulan Abu Sayyaf yang menaiki 2 bot pam pada 23 Sept di perairan berhampiran Lahad Datu di Malaysia yang berdekatan dengan sempadan laut selatan Filipina.

Pihak tentera berkata maklumat yang diterima daripada orang awam berkaitan lokasi penahanan Farhan membawa kepada kejayaan menyelamatkan mangsa.

Tentera Filipina menyelamatkan 2 lagi nelayan Indonesia pada Disember tahun lepas semasa satu pertempuran di kawasan pergunungan dalam daerah pedalaman Panamao di wilayah Sulu.

Kumpulan Abu Sayyaf dianggap kecil namun paling ganas dalam kalangan puak pelampau di selatan Filipina. Kumpulan itu, yang dianggarkan mempunyai 400 pejuang, bergerak aktif di wilayah Sulu dan Basilan.

Kumpulan itu bertanggungjawab melakukan beberapa siri penculikan bagi mendapatkan wang tebusan, pengeboman maut, serangan hendap ke atas anggota keselamatan, pemenggalan kepala secara terbuka, pembunuhan dan pemerasan di wilayah Mindanao.

Abu Sayyaf, yang mencetuskan ketakutan tidak terhingga di selatan wilayah Filipina sejak 1990-an, menjadikan pelancong asing, ahli perniagaan dan nelayan bukan sahaja dari Filipina malah dari Indonesia dan Malaysia sebagai mangsa, serta menyembunyikan mereka di dalam hutan-hutan atau pulau-pulau terpencil di Filipina.