CAP: Harga sayuran naik sehingga 70% menjelang Tahun Baru Cina

Sayuran seperti cili merah, kacang panjang, bendi, tomato dan kacang mengalami peningkatan harga kebelakangan ini.

PETALING JAYA: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berkata hasil tinjauan mereka mendapati berlaku peningkatan ketara harga sayur-sayuran antara 20 hingga 70%.

Presiden Mohideen Abdul Kader dalam kenyataan berkata memandangkan perayaan Tahun Baru Cina semakin dekat, harga cili merah, kacang panjang, bendi, tomato dan kacang naik kebelakangan ini.

“Sesetengah peruncit mengadu beberapa pengedar dan pemborong memberi amaran harganya akan meningkat lagi dalam beberapa minggu akan datang,” katanya.

Kenyataan itu juga menunjukkan perbezaan harga lama dan baru bagi sayuran tersebut. Antaranya harga lama sekilo cili daripada RM10 naik kepada RM14.

Manakala harga sekilo kacang panjang RM6 naik kepada RM10, bendi RM8 kepada RM10, tomato RM3.50 kepada RM6 dan kacang RM10 kepada RM12.

CAP turut menyeru penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bertindak tegas terhadap mana-mana peniaga yang menaikan harga terlalu tinggi.

“Ambil tindakan tegas terhadap peniaga yang menetapkan harga yang tinggi bawah Akta Kawalan Harga dan Anti- Pencatutan 2010, jika tidak mereka yang berpendapatan rendah akan terjejas teruk dengan kenaikan harga bahan untuk makanan ini,” katanya.