G25 lebih bahaya daripada al-Maunah, kata presiden PAS

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata, beliau kesal dengan pihak berkuasa kerana membiarkan perbincangan oleh kumpulan yang ‘bodoh dan bebal’ berhubung hal ehwal Islam.

PETALING JAYA: PAS hari ini berkata, kumpulan bekas penjawat awam kanan, G25 dan pengikutnya adalah lebih berbahaya daripada kumpulan militan al-Maunah.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan berkata, kumpulan itu memberi ancaman kepada akidah umat Islam kerana pemikiran mereka tidak berpandukan syariat daripada ajaran dan kitab suci agama itu.

“Kita pernah berdepan dengan peristiwa kumpulan Al Maunah yang kuat berzikir, tetapi menyerang kem tentera negara sendiri,” katanya merujuk kepada sekumpulan individu pada Julai 2000 yang menceroboh sebuah kem Rejimen Askar Wataniah di Gerik, Perak dan melarikan sejumlah senjata dari kem berkenaan.

Kumpulan itu, seramai 27 orang, yang merancang untuk menggulingkan kerajaan kemudiannya bersembunyi di Bukit Jenalik, Sauk, Perak sebelum menyerah diri kepada pasukan keselamatan berikutan kepungan yang diadakan.

Hadi berkata, beliau berasa kesal dengan pihak berkuasa kerana membiarkan perbincangan oleh kumpulan yang “bodoh dan bebal” berhubung hal ehwal Islam.

Beliau berkata, perbincangan mengenai agama Islam tidak boleh dibiarkan kepada kumpulan itu yang disifatkannya sebagai “makhluk perosak”.

“Walaupun dikatakan berpelajaran, tetapi akalnya kecil daripada ijazahnya,” katanya sambil menambah G25 tidak sepatutnya berlagak dan berasa serba tahu dalam urusan agama.

Dalam pada itu, Hadi juga mempertikai pihak media yang dilihat memberi perhatian kepada laporan G25 dengan mengatakan mereka juga akan memikul dosa dan kesalahan yang sama seperti kumpulan itu.

Sabtu lalu, G25 mengkritik undang-undang murtad dengan berkata, keputusan seorang Islam untuk keluar agamanya adalah antara individu itu dengan Tuhan.

Dalam laporan bertajuk “Administration of Matters Pertaining to Islam”, kumpulan itu berkata, undang-undang negeri yang menghukum kesalahan murtad, sama ada dengan denda, pemenjaraan atau pemulihan, adalah tidak konsisten dengan perlembagaan persekutuan yang menjamin kebebasan beragama.