Kabinet putus PLUS kekal milik Khazanah, KWSP, bukan saya, kata Mahathir

Perdana Menteri dr Mahathir Mohamad berkata, cadangan Maju Holdings turut dikaji oleh Kabinet.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mempertahankan keputusan Kabinet untuk tidak menjual syarikat konsesi lebuh raya terbesar negara, PLUS Malaysia Bhd kepada pihak swasta dan kekal menjadi milik Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Mahathir, berkata langkah itu merupakan satu-satunya cara untuk menyelesaikan hutang syarikat konsesi lebuh raya itu.

Katanya, keputusan itu tidak dibuat oleh beliau, tetapi diputuskan oleh Kabinet setelah mengkaji semua cadangan yang dikemukakan oleh syarikat pembida yang berbeza.

“Saya tidak memutuskan apa-apa (keputusan). Saya lihat beliau (Abu Sahid Mohamed, Maju Holdings Bhd) memberi cadangan. Kami (Kabinet) mengkaji semua cadangan yang dibuat oleh pembida yang berbeza,” katanya.

Mahathir berkata, berikutan kajian dibuat, Kabinet mendapati keputusan terbaik adalah untuk membenarkan syarikat konsesi lebuh raya itu kekal menjadi milik Khazanah dan KWSP.

Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan pengerusi eksekutif Maju Holdings, Abu Sahid, yang membuat tawaran mengambil alih PLUS, yang menyifatkan pengarah urusan Khazanah, Shahril Ridza Ridzuan sebagai pembohong beberapa jam selepas Putrajaya mengumumkan keputusan tidak menjual konsesi lebuh raya itu.

Abu Sahid turut menyifatkan keputusan itu sebagai “bodoh” dan mempersoalkan kenapa ia tidak dimaklumkan kepadanya walaupun syarikatnya dipelawa untuk membuat tawaran.

“Saya tidak tahu kenapa mereka tidak mahu menjualnya. Mereka tidak beritahu saya kenapa mereka tidak mahu jual,” kata Abu Sahid kepada FMT.

Semalam Mahathir mengumumkan keputusan Kabinet untuk tidak menjual PLUS kepada syarikat swasta dan kekal milik Khazanah yang mempunyai 51% kepentingan melalui UEM Group serta baki 49% dipegang oleh KWSP.

Beliau juga berkata, kadar tol lebuh raya tersebut akan dikurangkan sebanyak 18% mulai Feb ini, sementara tempoh konsesinya dilanjutkan 20 tahun lagi sehingga 2058.

Lebuh raya yang dikendalikan PLUS melebihi 800km, termasuk Lebuhraya Utara Selatan, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE) dan Jambatan Pulau Pinang.